Johor Bahru – Sebahagian besar pembinaan jejantas pejalan kaki (POB) di sekitar pusat bandar dijangka akan siap tahun ini bagi menyokong dan melengkapkan perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS) Link di Stesen Bukit Chagar.
Pembinaan POB itu dilaksanakan secara berfasa dan penting bagi membolehkan orang ramai yang keluar dari Stesen Bukit Chagar berjalan kaki secara terus ke kompleks perniagaan bersebelahan, kawasan tempat letak kereta serta lokasi tumpuan lain.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, baki pembinaan POB berkenaan akan diteruskan sehingga 2027.
“Projek POB ini membabitkan pelbagai agensi merangkumi pihak MRT Corp, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).
“Tiada istilah siap sepenuhnya sebenarnya kerana kita sentiasa membuat penambahbaikan. Namun, sebahagian besarnya akan siap tahun ini untuk menyokong RTS itu, manakala sebahagian lagi siap pada 2027.
“Nanti akan dikeluarkan juga jadual masa (timeline) dan video penyuraian trafik bagi memberikan gambaran jelas mengenai lokasi POB berkenaan,” katanya ditemui selepas Program Libat Urus bersama Pemandu Teksi sempena Tahun Melawat Johor 2026 di Pusat Informasi Pelancongan Johor (JOTIC) di sini, hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai penutupan Jalan Jim Quee di pusat bandar pula, beliau menegaskan laluan berkenaan ditutup khusus kepada kenderaan persendirian bagi mengurangkan kesesakan di kawasan sekitar.
Katanya, laluan itu hanya dibenarkan untuk kenderaan pengangkutan awam seperti bas dan teksi, selain pegawai yang bertugas di Bangunan Sultan Iskandar (CIQ), manakala perkhidmatan e-hailing dipindahkan ke Jalan Tun Razak.
“Fokus utama kita untuk memastikan pengguna pengangkutan awam menikmati pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan tidak terperangkap dalam kesesakan.
“Kita risau apabila RTS beroperasi kelak, penumpang yang turun dari stesen dan menaiki teksi terperangkap dalam kesesakan di Jalan Jim Quee.
“Sebab itu, laluan berkenaan dikhususkan untuk pengangkutan awam sahaja,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut merancang mewujudkan laluan khas bas bagi melancarkan pergerakan bas di pusat bandar.
Ditanya mengenai kemudahan tempat letak kereta awam di Jalan Jim Quee pula, beliau mengesahkan tiada kawasan parkir awam disediakan di jalan berkenaan kerana ia tidak dibuka kepada orang ramai.
Bagaimanapun, katanya, perancangan sedang dibuat untuk menyediakan pusat letak kereta awam di lokasi berhampiran, antaranya di hadapan Hospital Sultanah Aminah (HSA), yang bakal dilengkapi perkhidmatan bas ulang-alik terus ke CIQ.
Sumber – Berita Harian





