KUALA LUMPUR – Ancaman korupsi atau rasuah pernah dikenal pasti sebagai salah satu daripada tiga cabaran utama negara oleh Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sekitar era 1970-an masih relevan sehingga kini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiga ancaman yang dikenali sebagai ‘3C’ itu merangkumi komunisme (communism), idealogi atau pegangan politik (communalism) dan korupsi (corruption).
Menurut beliau, meskipun ancaman komunisme bersenjata seperti yang dihadapi negara pada ketika itu sudah tidak lagi berlaku, namun ancaman berkaitan fahaman asing, sentimen perkauman dan rasuah masih perlu diberi perhatian.
“Yang ketiga, bayangkan tahun 70-an, Tun Abdul Razak menyebut ancaman ketiga yang bahaya bagi negara (ialah) corruption (korupsi). Itu ‘3C’,” katanya ketika berucap pada Program Mengenai Negarawan Tun Abdul Razak “Arkitek Pembangunan Negara Bangsa” di sini, hari ini.
Anwar berkata, Tun Abdul Razak ketika itu turut mengingatkan golongan muda supaya tidak menganggap rasuah sebagai sesuatu yang jauh daripada kehidupan mereka.
Katanya, Bapa Pembangunan itu memahami bahawa anak muda pada ketika itu lantang menentang rasuah kerana mereka belum berdepan dengan kedudukan atau kuasa yang membuka ruang kepada amalan berkenaan.
“Ya lah, kamu semua sekarang anak muda menentang rasuah. Menolak dengan keras sebab tak ada orang nak rasuah kamu.
“Tapi sebaik jadi nanti, (ada jawatan), masa itu dah mula kendur (goyah),” katanya ketika mengimbas kembali pesanan Allahyarham.
Anwar berkata, pesanan tersebut kemudiannya dibawa oleh beberapa penceramah ke universiti-universiti bagi memberi kesedaran kepada golongan mahasiswa mengenai bahaya rasuah.
Beliau menyifatkan perkara itu sebagai antara pesanan Allahyarham yang mampu merentasi zaman dan kekal mempunyai kaitan dengan cabaran negara pada masa kini.
“Communalism (komunisme) masih tebal. Dan corruption (korupsi) masih menjadi salah satu masalah besar,” tegasnya.
Beliau menambah, generasi muda khususnya perlu memahami bahawa perjuangan membina negara bukan sekadar mengenai pencapaian sejarah, sebaliknya memerlukan penghayatan gagasan serta penerimaan terhadap pesanan tokoh terdahulu.
Sumber – KOSMO! ONLINE





