Friday, October 23, 2026
HomeHIBURANSahabat Dilanda Kanser, Aaron Aziz Titip Doa Buat Sheikh Haikel

Sahabat Dilanda Kanser, Aaron Aziz Titip Doa Buat Sheikh Haikel

KUALA LUMPUR – Pelakon Datuk Aaron Aziz menyatakan sokongan penuh dan rasa kasih terhadap sahabat karibnya, penyanyi rap Singapura Sheikh Haikel, yang kini sedang berjuang melawan kanser.

Perkongsian menyentuh hati itu dimuat naik isterinya, Datin Diyana Halik menerusi hantaran video di akaun media sosial.

Menerusi perkongsian video itu, Aaron mengimbau detik awal ketika sahabatnya itu memaklumkan mengenai penyakit yang dihidapi serta hajat untuk menunaikan ibadat umrah.

“Kepada abang saya, Sheikh Haikel. Apabila anda beritahu saya bahawa anda menghidap kanser, anda mengatakan bahawa anda ada satu harapan. Harapan anda adalah untuk pergi menunaikan umrah. Apa yang anda mahukan ialah anda dan Anna Belle (isteri Haikel) dapat berdoa di hadapan Kaabah.

“Alhamdulillah, kami berjaya melakukannya. Perjalanan itu antara yang paling tidak dapat dilupakan bersama anda. Ia adalah sesuatu yang akan sentiasa saya hargai. Saya juga menanti-nantikan haji kita,” katanya.

Aaron turut meminta orang ramai dan pengikut mendoakan kesembuhan Haikel serta memberi sokongan kepada perniagaan diusahakan sahabatnya itu.

“Oleh itu, saya harap sesiapa yang menonton video ini, tolong doakan Haikel dan Anna Belle. Tolong tunjukkan kasih sayang dan sokongan anda dengan datang ke Hai Ge Ji (restoran milik Haikel). Nasi ayamnya sangat menakjubkan.

“Pergilah ke sana, bawa keluarga anda, makan dan doakan Haikel dan Anna Belle. Saya ada di belakang anda. Semoga Allah menjaga anda. Teruslah kuat dan ketahuilah bahawa kami semua menyayangi anda… Terima kasih,” katanya.

Sementara itu, Diyana menerusi keterangan hantaran itu berkongsi rasa terkesan apabila menyaksikan sendiri keakraban hubungan persahabatan antara suaminya dan Sheikh Haikel ketika berita duka itu diterima pada 27 Julai 2025.

“Masya-Allah, Tabarakallah. 27 Julai 2025, Aaron terima satu panggilan telefon yang sangat menyedihkan. Selama ini, saya selalu fikir hanya kaum wanita yang mempunyai hubungan sebegitu, di mana kita boleh menelefon pada bila-bila masa dan meluahkan segala isi hati sambil menangis.

“Dengan lelaki, kita tidak begitu melihat hubungan seperti itu. Tetapi apabila ia berlaku, biasanya ia membawa satu berita yang benar-benar menyayat hati,” tulisnya.

Diyana menjelaskan bahawa hubungan akrab antara suaminya dan Sheikh Haikel amat mendalam, selain mengajak orang ramai terus mendoakan kesembuhan serta menyokong perniagaan restoran milik pasangan berkenaan yang terletak di Singapura.

“Hubungan antara Aaron dan Haikel begitu mendalam. Semoga Allah SWT kurniakan kesembuhan yang segera dan kekuatan kepadanya… Amin. Tolong doakan kesembuhan Haikel. Sokongan anda amat bermakna buat mereka. Sayang awak, Belle,” tulisnya.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Nak Kurus Demi GV, Saya Diet Hardcore, Tak Makan Seminggu’ –...

0
PETALING JAYA – Menjadi antara peserta Gegar Vaganza musim ke-13 (GV13), penyanyi Shahir berjaya menurunkan berat badan sebanyak 12 kilogram (kg) dalam tempoh tiga...

CATEGORIES