KUALA LUMPUR – Daerah Serian, Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap ekstrem dan menghampiri paras darurat setakat jam 11 pagi tadi.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan tertinggi direkodkan di Serian dengan mencecah 517, diikuti Kuching (310), Samarahan (281) dan Sri Aman (239).
Dalam pada itu, 10 kawasan diklasifikasikan tidak sihat iaitu Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Samalaju, Institut Latihan Perindustrian Miri, Sandakan, Politeknik Kota Kinabalu, Pasir Gudang dan Segamat.
Sebanyak 42 kawasan seluruh negara merekodkan bacaan sederhana termasuk Labuan, Alor Gajah, Seremban, Johan Setia, Temerloh dan Cheras.
Hanya 12 kawasan menunjukkan bacaan IPU sihat iaitu Seberang Perai, Kota Bharu, Alor Setar, Kulim Hi-Tech, Seberang Jaya, Sungai Petani, Minden, Tanah Merah, Balik Pulau, Taiping, Kangar dan Langkawi.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200) dan sangat tidak sihat (201-300), manakala IPU melebihi 300 dikategorikan berbahaya.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan bacaan daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai kualiti udara semasa menerusi saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar melalui pautan: eqms.doe.gov.my atau MyJAS EQMS di Google Play dan App Store.
Sumber – Berita Harian





