Friday, September 4, 2026
HomeHIBURANFatimah Abu Bakar Gesa Penulis Skrip Fahami Batas Kreativiti

Fatimah Abu Bakar Gesa Penulis Skrip Fahami Batas Kreativiti

SUNGAI BULOH – Penggiat seni, khususnya penulis skrip perlu memahami batas dan sensitiviti masyarakat dalam menghasilkan sesebuah karya agar kebebasan berkreativiti dapat diseimbangkan dengan tanggungjawab sebagai pencipta kandungan.

Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Fatimah Abu Bakar, berkata penggiat seni juga perlu peka terhadap ruang, lokasi dan latar masyarakat ketika menggunakan kemahiran kreatif mereka.

Katanya, perkara itu penting bagi memastikan karya yang dihasilkan tidak mengetepikan nilai serta sensitiviti masyarakat setempat.

“Saya rasa sebagai ‘storyteller’, terutama di sini, awak perlu tahu batasan awak. Kita kena tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh.

“Kita kena sedar ruang dan bergantung kepada di mana kita berada untuk kita menggunakan kemahiran kreatif kita,” katanya pada sidang media Projek Sinema: Pencetus Aspirasi Filem Malaysia di Dewan Panca Delima, Menara FINAS Damansara di sini, pagi tadi.

Fatimah yang juga pelakon berpengalaman berkata, dalam masa sama, golongan muda khususnya penulis skrip perlu diberikan ruang dan kebebasan untuk menghasilkan karya kreatif.

Katanya, batas kreativiti adalah perkara yang subjektif kerana sesuatu perkara mungkin dianggap sesuai oleh sesetengah pihak tetapi sebaliknya bagi pihak lain.

“Kalau boleh, saya juga nak minta pihak berkenaan supaya memberikan lebih kebebasan, terutama kepada penulis skrip muda kita.

“Susah juga untuk saya kata sebab mungkin apa yang saya kata okey, orang lain kata tidak okey. Ia sangat subjektif,” katanya.

Bagaimanapun, Fatimah menegaskan kebebasan berkarya perlu disertai kesedaran terhadap tanggungjawab yang dipikul setiap penghasil kandungan.

“Tapi secara keseluruhannya, saya nak kata, berkaryalah sekreatif yang awak mahu, tetapi kena tahu batasnya.

“Kita perlu bersikap praktikal dan berpijak pada realiti tempat kita berada, serta memahami tanggungjawab kita.

“Memang sukar untuk mencari keseimbangan antara kreativiti dan tanggungjawab itu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fatimah berkata penulisan skrip adalah antara asas terpenting sebelum sesebuah produksi dimulakan.

Sehubungan itu, katanya, penggiat seni perlu diberi penekanan terhadap kemahiran menghasilkan skrip yang baik bagi memastikan sesebuah karya mempunyai asas penceritaan yang kukuh.

“Bukan bidang lain itu tidak mustahak, tetapi saya rasa teras utama yang perlu kita beri perhatian pada hari ini adalah kita sangat memerlukan skrip yang sangat bagus.

“Saya rasa ‘storytelling’ kita agak kurang. Kita boleh mempunyai pengarah terbaik dan pelakon terbaik, tetapi kalau tiada skrip baik, susah untuk berkarya.

“Sebab itu kita perlu tekankan soal skrip, pengarahan, lakonan dan penerbitan,” katanya.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Calon PALAPES Aktif Dikecualikan Empat Ujian

0
ARAU: Calon Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang masih aktif tidak perlu menduduki ujian tertentu dalam proses pemilihan menyertai Angkatan Tetap melalui latihan Pegawai...

CATEGORIES