SHAH ALAM – Bekas Ketua Pegawai Operasi ( COO) Lembaga Tabung Haji ( TH) yang dijadualkan menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen hari ini tidak dapat hadir selepas dimasukkan ke hospital akibat masalah jantung.
Peguamnya, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, yang mewakili individu berpangkat Datuk itu, mengesahkan perkara berkenaan ketika prosiding di hadapan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Isteri kepada individu berkenaan yang turut hadir ke mahkamah memaklumkan suaminya mengalami sakit dada pada hujung minggu lalu dan dimasukkan ke hospital pada Isnin.
Beliau memaklumkan, suaminya perlu menjalani beberapa siri pemeriksaan termasuk ujian elektrokardiogram (ECG) dan angiogram.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin, menyerahkan perkara berkenaan kepada budi bicara mahkamah untuk menentukan jika pertuduhan perlu dibacakan di mahkamah.
Awang Kerisnada yang berpuas hati dengan penjelasan peguam serta isteri individu berkenaan menangguhkan kes berkenaan pada 24 September, jam 9 pagi.
Sementara itu, Wan Azman Aiman ketika ditemui di luar mahkamah memaklumkan bekas COO terbabit sepatutnya berdepan dengan tiga pertuduhan membabitkan rasuah di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Krisis kewangan TH bermula selepas timbul isu ketidakpadanan antara aset dan liabiliti yang membawa kepada pelaksanaan pelan pemulihan berskala besar
Perkara itu kemudiannya disusuli penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu berbangkit, termasuk pelaburan pajakan hotel TH di Mekah dan Madinah.
Justeru, pada 14 Ogos lalu, tujuh individu ditahan bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), antaranya bekas menteri, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat perkapalan, pengarah syarikat pembinaan, bekas pengarah syarikat serta empat bekas anggota pengurusan kanan TH.
Sumber – Berita Harian





