PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah, Namron, menasihati wanita supaya memilih lelaki yang menyayangi barang miliknya sebagai calon suami kerana sifat itu mencerminkan kesetiaan dalam hubungan.
Namron atau Shahili Abdan, 59, berkata, kebiasaan lelaki yang menjaga barangan peribadi dengan baik menunjukkan mereka tidak mudah berpaling tadah atau mencari pengganti.
“Nasihat saya kepada wanita yang ingin mencari pasangan hidup, pilihlah lelaki yang sayang barang miliknya. Contoh kereta, dia beli kereta dan dia guna kereta itu sahaja.
“Dia jaga elok-elok, kalau rosak dia hantar bengkel dan baiki. Dia tidak pernah hendak tukar kereta lain, ini lelaki yang harus dicari,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Dalam pada itu, Namron mengingatkan golongan wanita agar menjauhi lelaki yang cepat bosan dan kerap menukar barang peribadi.
“Jangan cari lelaki yang baru pakai kereta tiga ke empat tahun dan belum habis bayar tetapi sudah hendak tukar kereta. Rosak sedikit sahaja sudah hendak ‘trade in’ dan ambil kereta baharu.
“Namun kena ingat juga, lelaki yang sayang kereta pertama dia, apabila ada duit banyak mungkin akan tambah kereta. Kereta lama tetap dia simpan,” selorohnya.
Untuk rekod, antara karya arahan dan lakonan beliau yang mendapat tempat di hati penonton termasuklah One Two Jaga, Crossroads: One Two Jaga, dan pelbagai drama serta filem popular lain.
Sumber – UTUSAN





