PETALING JAYA – Ibu Syed Saddiq, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz mengakui pernah berada dalam dilema untuk menerima Bella Astillah sebagai menantu ketika kes mahkamah anaknya masih belum selesai.
Menurut Sharifah Mahani, kebimbangannya bukan kerana tidak menerima Bella, sebaliknya dia memikirkan nasib penyanyi itu sekiranya keputusan mahkamah tidak memihak kepada Syed Saddiq.
“Terus terang saya cakap, masa mula-mula jumpa Bella, saya tidak percaya dan khuatir. Saya dalam dilema sama ada Bella akan menjadi menantu saya atau tidak sebab perbicaraan di mahkamah.
“Bukan saya tidak sayang Bella. Saya banyak berdiam diri sebab penentuannya ketika itu adalah mahkamah. Kalau Saddiq kalah, saya tidak mahu menganiaya anak perempuan orang. Berdosa,” katanya kepada Gempak.
Selepas keputusan mahkamah memihak kepada Syed Saddiq, Sharifah Mahani mengakui berasa lebih lega dan bersedia menerima Bella sebagai sebahagian daripada keluarga.
Dalam pada itu, dia turut memuji keperibadian Bella yang disifatkan sebagai wanita berdikari, berani dan kuat berusaha untuk mencapai kejayaan.
“Apa yang saya nampak, Bella seorang yang berdikari. Banyak perkara dia cuba lakukan sendiri dan dia berani tampil ke hadapan untuk mencapai kejayaan,” ujarnya.
Sharifah Mahani turut menyifatkan pengalaman kegagalan rumah tangga yang pernah dilalui Bella menjadikan penyanyi itu lebih kuat untuk meneruskan kehidupan serta membina masa depan bersama anak-anaknya.
Terdahulu, Bella dan Syed Saddiq mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober ini selepas berkongsi tarikh pernikahan tersebut menerusi program MeleTOP.





