PETALING JAYA – Perkhidmatan rel kendalian Rapid KL termasuk Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel Kuala Lumpur akan beroperasi selama 24 jam bermula 30 Ogos hingga 31 Ogos ini bagi memudahkan pergerakan orang ramai sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026.
Rapid KL dalam kenyataan berkata, beberapa perkhidmatan bas terpilih turut dilanjutkan operasinya kepada 24 jam termasuk Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway dan perkhidmatan Rapid KL On-Demand (ROD).
Menurut kenyataan itu, kekerapan tren di beberapa laluan utama akan ditingkatkan bagi menampung peningkatan jumlah penumpang, selain tren tambahan akan digerakkan berdasarkan pemantauan jumlah penumpang serta tahap kesesakan di platform.
“Pelanjutan waktu operasi ini dilaksanakan bagi memastikan pergerakan orang ramai lebih lancar, khususnya mereka yang menghadiri sambutan Ambang Merdeka pada malam 30 Ogos serta acara Sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada pagi 31 Ogos,” katanya.
Bagi memudahkan orang ramai ke lokasi sambutan di Putrajaya, Rapid KL turut menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma membabitkan 103 bas menerusi dua laluan.
“Laluan MS01 dari Stesen Putrajaya Sentral ke Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2 beroperasi dari pukul 2 petang, 30 Ogos hingga 2 petang, 31 Ogos.
“Manakala laluan MS02 dari PICC ke Jalan Tun Hussein, Presint 3 pula beroperasi dari pukul 4 pagi hingga 2 petang pada 31 Ogos,” ujarnya.
Rapid KL berkata, perkhidmatan percuma itu disediakan bagi memudahkan akses orang ramai ke kawasan sambutan selain mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian dan kesesakan lalu lintas.
Dalam pada itu, lebih 5,000 petugas barisan hadapan daripada pelbagai unit akan ditempatkan secara syif pada 30 dan 31 Ogos bagi menyokong operasi, mengurus pergerakan penumpang serta memastikan aliran orang ramai di stesen dan lokasi tumpuan berjalan lancar dan selamat.
Rapid KL turut menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam untuk ke lokasi sambutan Hari Kebangsaan bagi membantu mengurangkan kesesakan jalan raya.
“Penumpang dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, memastikan baki kad Touch ’n Go mencukupi serta mematuhi arahan petugas, khususnya ketika berada di stesen dan kawasan yang mempunyai kepadatan penumpang tinggi,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai operasi Rapid KL sepanjang sambutan itu boleh diperoleh menerusi platform media sosial Rapid KL atau laman web rasmi www.myrapid.com.my.
Sumber – KOSMO! ONLINE





