Thursday, August 20, 2026
HomeBERITATerowong Ketiga Genting Sempah, Pelebaran KL-Karak Siap 2029

Terowong Ketiga Genting Sempah, Pelebaran KL-Karak Siap 2029

GOMBAK – Projek Pelebaran Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) termasuk pembinaan Terowong Ketiga Genting Sempah bernilai RM2.1 bilion dijangka dapat disiapkan lebih awal setahun, iaitu pada 2029 berbanding jadual asal 2030.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek berkenaan melibatkan pelebaran jajaran sepanjang 45.3 kilometer dari Plaza Tol Gombak hingga Persimpangan Mempaga serta pembinaan terowong baharu sepanjang 999 meter.

“Dalam kontrak kita bersama syarikat konsesi lebuh raya, Kumpulan AFA, ia dijangka siap dalam empat tahun iaitu 2030, tapi sebentar tadi kita diberi jaminan oleh AFA boleh siap pada 2029.

“Itu sangat membanggakan kerana ia ‘ahead of time’ (lebih awal daripada jadual). Kita tahu betapa pentingnya projek ini untuk kita menangani masalah kesesakan dan juga keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya antara Lembah Klang ke Pantai Timur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Terowong Ketiga dan Pelebaran Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, di sini hari ini.

Tambah Nanta, projek itu dilaksanakan susulan peningkatan ketara jumlah trafik di lebuh raya berkenaan yang kini merekodkan purata lebih 170,000 kenderaan sehari berbanding sekitar 41,000 kenderaan sehari pada tahun 1997.

“Ini merupakan peningkatan lebih tiga kali ganda. Maka kapasiti sedia ada perlu diperkukuh supaya infrastruktur kita terus mampu menyokong pertumbuhan ekonomi dan peningkatan mobiliti rakyat.

“Jadi, bayangkan bagaimana projek ini nanti boleh membantu memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Projek yang bermula pada 9 Mac lalu membabitkan pelebaran daripada tiga kepada empat lorong antara Gombak dan Genting Sempah, manakala laluan Genting Sempah ke Bentong pula akan ditambah daripada dua kepada tiga lorong.

Terowong baharu pula akan dibina menggunakan kaedah New Austrian Tunnelling Method (NATM) dan beroperasi bersama dua terowong sedia ada masing-masing dibuka pada 1978 dan 1996.

Nanta berkata, projek itu turut melibatkan beberapa penambahbaikan keselamatan termasuk pemasangan lampu jalan diod pemancar cahaya, penyediaan bahu jalan di struktur dan jejambat serta pelurusan beberapa jajaran berselekoh bagi meningkatkan jarak penglihatan.

Selain itu, teknologi pintar seperti kamera litar tertutup, Variable Message Sign, sistem pemantauan kualiti udara dan sistem pengesanan insiden akan digunakan bagi membolehkan pemantauan trafik serta tindak balas lebih pantas terhadap kejadian kecemasan.

Dalam pada itu, Pengerusi Kumpulan AFA, Tan Sri Azmil Khalid berkata, antara faktor yang membolehkan projek itu disasarkan siap setahun lebih awal adalah pendekatan pembinaan secara serentak di keseluruhan jajaran, bukannya dilaksanakan secara berperingkat di satu-satu lokasi.

Menurutnya, kontraktor telah digerakkan untuk menjalankan kerja di sepanjang kawasan projek dengan setiap pihak diberikan sasaran tarikh penyiapan yang jelas bagi memastikan kemajuan kerja dapat dikawal.

“Cara pembinaan kita adalah buat di seluruh kawasan sekali, bukan sedikit-sedikit. Kita ada kontraktor yang bekerja di keseluruhan jajaran dan mereka diberikan tarikh sasaran yang sangat jelas.

“Jadi, kita dapat mengawal kemajuan itu. Bagi pembinaan terowong pula, insya-Allah dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Ibu Ditembak Mati, Anak Dicampak Dalam Gaung

0
JAKARTA – Kumpulan Penjenayah Bersenjata (KKB) sekali lagi melakukan keganasan di  Papua Tengah selepas menjadikan sembilan wanita tebusan, menembak mati seorang ibu dan  mencampakkan...

CATEGORIES