Thursday, August 20, 2026
HomeHIBURAN'Bukan Buka Aib, Dulu Saya Takut Bersuara' – Kaka Azraff

‘Bukan Buka Aib, Dulu Saya Takut Bersuara’ – Kaka Azraff

PETALING JAYA – Enggan menipu diri sendiri, penyanyi Kaka Azraff memilih untuk lebih terbuka menyuarakan isi hati serta berkongsi pengalaman sebagai seorang wanita yang pernah berdepan pelbagai fasa sukar.

Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff, 36, berkata, perkongsian dibuat bukan bertujuan mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya ingin memberi kekuatan kepada golongan hawa lain yang berdepan situasi sama.

“Sebagai seorang wanita yang sudah melalui pelbagai perkara dalam hidup termasuk perceraian, tak salah untuk saya berkongsi sebab bukan saya seorang sahaja yang lalui situasi sebegini.

“Saya ada platform dan sebenarnya saya cuma nak beritahu orang bahawa mereka tidak sendirian dalam melalui ujian hidup sebagai ibu tunggal.

“Kalau perkongsian itu boleh suntik mereka sedikit semangat serta bina diri untuk bangkit semula, bagi saya itu sudah mencukupi,” katanya.

Menurut Kaka, meluahkan apa yang terbuku di hati juga sedikit sebanyak membantu meringankan beban, apatah lagi selepas menerima komen daripada individu yang turut berkongsi perjalanan hidup masing-masing.

Katanya, isu yang disentuh juga tidak terhad kepada soal nafkah anak malah merangkumi pelbagai hal yang dilalui wanita selepas melalui perubahan besar dalam kehidupan.

“Saya tak kata saya tak dapat langsung (nafkah) atau apa, tetapi saya yakin orang yang melalui keadaan sama macam saya bukan mudah berdepan dengan pelbagai isu.

“Hal ini memerlukan kesabaran, perancangan dan kita kena tahu apa yang kita nak lakukan untuk mendapatkan hak anak-anak,” ujarnya.

Ibu tunggal kepada tiga anak itu mengakui tidak lagi terlalu memikirkan tanggapan orang yang mungkin menganggap wanita selepas bercerai sengaja membuka cerita peribadi untuk meraih perhatian.

“Saya tak kisah apa orang nak cakap sebab mereka tak duduk di tempat saya. Mereka tak tahu apa yang saya rasa dan apa yang saya lalui.

“Dulu saya takut nak bersuara. Banyak sangat fikir, ‘boleh ke?’. Tetapi sekarang kalau benda itu betul dan niat kita bukan untuk mengaibkan sesiapa, kita cuma berkongsi pengalaman, jadi pengajaran,” jelasnya.

Bagi Kaka, keberanian untuk bersuara bukan bermaksud mahu mencari perbalahan, sebaliknya berharap perkongsian dilakukan dapat menjadi pencetus semangat kepada wanita lain supaya tidak terus membiarkan diri dipijak.

“Bukan nak bergaduh atau berlawan. Kita cuma nak menyuarakan. Bila kita bersuara, mungkin ada orang yang dengar dan rasa, ‘Aku pun berada di tempat macam itu’.

Dalam perkembangan kerjaya, Kaka kini giat mempromosikan salah satu lagu daripada albumnya selain baru sahaja melancarkan muzik video terbaharu.

Kaka juga bakal tampil dengan karya bersama penyanyi rap, Yonnyboii menerusi lagu berjudul Lepaskan yang dijadualkan dilancarkan pada 28 Ogos ini.

Terdahulu, penyanyi lagu Gila itu bercerai dengan bekas suaminya, Adam Azriff buat kali kedua pada 4 Jun lalu.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Ibu Ditembak Mati, Anak Dicampak Dalam Gaung

0
JAKARTA – Kumpulan Penjenayah Bersenjata (KKB) sekali lagi melakukan keganasan di  Papua Tengah selepas menjadikan sembilan wanita tebusan, menembak mati seorang ibu dan  mencampakkan...

CATEGORIES