ALOR GAJAH – Kementerian Pertahanan (Mindef) terus memperkasakan Program Peduli Veteran MADANI (PVM) sebagai mekanisme mengenal pasti keperluan sebenar setiap warga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan kebajikan golongan itu terus terpelihara.
Program turun padang melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) itu dilaksanakan sebagai usaha menyantuni veteran secara bersemuka, selain menilai keperluan mereka bagi menambah baik skim serta inisiatif berkaitan kebajikan.
Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari berkata, pendekatan menziarahi itu penting bagi memastikan bantuan yang disediakan kerajaan benar-benar memenuhi keperluan penerima.
Katanya, keadaan setiap veteran adalah berbeza selepas menamatkan perkhidmatan, terutama mereka yang berdepan faktor usia, masalah kesihatan atau cabaran ekonomi.
“Bila kita turun padang, kita dapat lihat sendiri keadaan veteran dan keluarga mereka. Ada yang memerlukan bantuan kesihatan, ada yang memerlukan bantuan kebajikan dan ada juga yang memerlukan sokongan untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.
“Jadi kita tidak boleh melihat semua veteran dalam satu keadaan yang sama kerana keperluan mereka berbeza-beza. Sebab itu pendekatan kita adalah mengenal pasti dahulu sebelum bantuan disalurkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke kediaman Koperal Badrun Sauman (Bersara), salah seorang penerima Program PVM di Sungai Udang, di sini, hari ini.
Terdahulu, Koperal (Bersara) berdepan cabaran apabila dua daripada empat anaknya berusia 26 dan 23 tahun menghidap Ataxia Friedreich, iaitu penyakit genetik jarang berlaku yang menjejaskan sistem saraf serta koordinasi pergerakan.
Selain itu, seorang lagi anaknya berusia 20 tahun mengalami Gangguan Hiperaktif dan Kurang Daya Tumpuan (ADHD), manakala Badrun sendiri berdepan masalah berkaitan jantung.
Menerusi program itu, seramai 16 veteran ATM termasuk balu serta keluarga disantuni melalui lawatan ke kediaman masing-masing bagi mengenal pasti keperluan mereka.
Mengulas lanjut Adly berkata, setakat ini pelbagai bantuan bersasar telah disalurkan mengikut keperluan penerima termasuk bantuan baik pulih rumah, peralatan perubatan, sara hidup, keperluan asas serta bantuan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi bagi anak veteran ATM.
Menurutnya, usaha berkenaan merupakan sebahagian komitmen Mindef dalam memperkukuh ekosistem kebajikan veteran ATM selaras dengan aspirasi Teras 7 Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030, yang memberi penekanan terhadap kesejahteraan anggota, veteran ATM serta keluarga.
Jelasnya, komitmen itu dapat diterjemahkan dengan baik menerusi peningkatan peruntukan kepada JHEV ATM, iaitu RM303.3 juta pada tahun ini berbanding RM118 juta pada 2023, RM244 juta pada 2024 dan RM293 juta pada 2025.
“Hampir 90 peratus iaitu sekitar RM273 juta daripada peruntukan juga telah digunakan untuk kebajikan anggota veteran.
“Jadi, kita salurkan terus kepada anggota veteran, sama ada melalui bantuan sara hidup ataupun bantuan-bantuan skim yang lain seperti kesihatan, pendidikan anak-anak dan tambah baik ekonomi mereka,” katanya.
Adly berkata, bantuan turut disesuaikan mengikut keadaan penerima termasuk veteran yang mempunyai pencen di bawah paras garis kemiskinan serta mereka yang tidak berpencen.
Selain bantuan kebajikan, seramai lima veteran ATM dan balu turut menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai tanda penghargaan terhadap jasa serta pengorbanan mereka sepanjang berkhidmat mempertahankan keamanan negara.
Katanya, kerjasama bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut diperkukuh bagi memastikan bantuan kepada veteran dan keluarga mereka dapat disalurkan secara menyeluruh.
Turut hadir sama pada program itu adalah Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, Sophian Isswandy Ismail; Pengarah JHEV ATM Cawangan Melaka dan Negeri Sembilan, Mejar Muhammad Zarifi Tumin; wakil JKM Melaka serta wakil persatuan veteran ATM Melaka.





