Monday, August 17, 2026
HomeHIBURANWRGA Kelantankan ALI2025 Dengan Kemenangan Anugerah Hip Hop Terbaik 2025

WRGA Kelantankan ALI2025 Dengan Kemenangan Anugerah Hip Hop Terbaik 2025

PETALING JAYA, 17 Ogos 2026 – Pemuzik indie WRGA mencipta kejayaan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Hip Hop Terbaik pada pentas akhir Anugerah Lagu Indie 2025 (ALI2025) menerusi karya “GKG (Gomo Klate Gomo)”.

Kemenangan itu menyaksikan WRGA membawa pulang trofi serta hadiah wang tunai sebanyak RM5,000, sekali gus menjadi satu pengiktirafan terhadap karya hip hop dari Kelantan dan perjalanan mereka dalam scene muzik independen tempatan. “Alhamdulillah, kami memang sangat bersyukur dan terharu. Bagi kami, kemenangan ini bukan sekadar trofi, tapi satu pengiktirafan untuk hip hop Kelantan dan muzik yang kami perjuangkan selama ini.

“Lagi bermakna sebab kami datang daripada scene independent dan buat semuanya dengan identiti sendiri,” kata WRGA.

“GKG” turut menampilkan Bai, YAPH, RxF Rhaled dan Fezral, dengan karya tersebut mengetengahkan gabungan elemen hip hop dan dikir barat yang berakar daripada budaya Kelantan.

Menurut WRGA, elemen dikir barat dipilih kerana ia merupakan sebahagian daripada akar budaya Kelantan yang mahu dibawa ke ruang muzik lebih moden tanpa menghilangkan identiti asalnya.

“Kami tak nak budaya itu hanya kekal sebagai sesuatu yang tradisional, tapi nak bawa dia ke ruang yang lebih moden. Jadi dalam ‘GKG’, kami cuba gabungkan energy hip hop dengan elemen dikir barat tanpa hilangkan identiti kedua-duanya,” katanya.

WRGA turut berharap gabungan muzik moden dan elemen tradisional itu dapat membuka ruang kepada generasi muda untuk lebih menghargai budaya sendiri.

“Kami harap pendengar dapat rasa bahawa budaya dan muzik moden sebenarnya boleh bergerak seiring. Terutamanya generasi muda, kami nak mereka rasa bangga dengan budaya sendiri dan tahu bahawa elemen Kelantan boleh dibawa ke pentas yang lebih besar tanpa perlu buang identiti kita,” katanya.

ALI2025 merupakan edisi keenam penganjuran Anugerah Lagu Indie dan menerima sebanyak 590 penyertaan dalam tiga kategori utama iaitu Pop, Rock dan Hip Hop. Daripada jumlah itu, 90 lagu disenarai pendek sebelum 15 finalis dipilih untuk berentap di pentas akhir.

Pemenang ditentukan berdasarkan 70 peratus penilaian juri profesional dan 30 peratus undian awam dalam talian.

Pentas akhir ALI2025 berlangsung pada 16 Ogos 2026 di Proscenium Theatre, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre, Sunway Square Mall, dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Rakan Muda (Rakan Muzik Presents).

Mengulas mengenai perancangan selepas kemenangan tersebut, WRGA menyifatkan kejayaan itu bukan sebagai penamat, sebaliknya permulaan untuk mereka meneroka lebih banyak karya dan kolaborasi.

“In Shaa Allah, kami nak terus berkarya dan bawa muzik WRGA ke tahap yang lebih jauh. Kemenangan ini bagi kami bukan penamat, tapi satu permulaan untuk kami explore lebih banyak bunyi, lebih banyak kolaborasi dan lebih banyak cerita tentang Kelantan.

“Kami nak terus bawa nama hip hop Kelantan ke luar, bukan sekadar di Kelantan tapi ke seluruh Malaysia dan kalau ada rezeki, ke luar negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Ini Mungkin Tahun Terakhir Saya Dengan Bola Sepak’ – Ronaldo

0
BERLIN – Ikon bola sepak Cristiano Ronaldo, 41, memberi bayangan paling jelas setakat ini mengenai bila beliau akan bersara, lapor Agensi Akhbar Jerman. “Ini mungkin...

CATEGORIES