PETALING JAYA: Pelakon dan usahawan, Adam Corrie Lee berpendapat kejayaan sesebuah perniagaan tidak seharusnya diukur dengan keuntungan semata-mata, sebaliknya perlu seiring dengan usaha mencari keberkatan dalam setiap rezeki yang diperoleh.
Menurut Adam, prinsip itu sentiasa menjadi pegangannya dalam mengusahakan perniagaan, termasuk memastikan kebajikan serta tuntutan agama pekerjanya tidak dipandang ringan.
“Semalam saya di The Curve, tengok proses sertu restoran kami yang bakal dibuka bulan ini. Alhamdulillah, satu perkara yang buat saya lega, surau pusat membeli-belah dekat sangat dengan restoran.
“Saya sempat tanya pihak pengurusan, “Masjid dekat tak? Senang staf lelaki kami mahu pergi solat Jumaat.” Rupanya dekat saja. Jalan kaki pun sampai, seberang jalan di hadapan pusal membeli-belah.
“Bagi saya, bila kita buat bisnes, memang kita nak untung. Tapi dalam mengejar keuntungan, jangan lupa kita juga mencari keberkatan,” katanya menerusi sebuah hantaran Threads.
Tambah Corrie, dia percaya keuntungan semata-mata tidak membawa makna sekiranya aspek keberkatan serta tanggungjawab terhadap pekerja dan agama diabaikan.
“Kita ada tanggungjawab kepada perniagaan, kepada pekerja dan orang di sekeliling kita. Dan yang paling utama, tanggungjawab kita kepada Allah, Maha Pencipta.
“Rezeki bukan sekadar berapa banyak yang masuk. Semoga setiap usaha yang kita bina, ada keberkatan di dalamnya,” jelasnya.
Kagum dengan perkongsian tersebut, rata-rata pengikutnya memuji prinsip pelakon itu yang tetap mengutamakan keberkatan rezeki ketika mencari keuntungan dalam perniagaan.
Sumber – Utusan





