SHAH ALAM – “Saya faham risiko mempunyai darah campuran. Saya ambil yang jernih dan buang yang keruh.”
Demikian komen penyanyi Aisha Retno apabila dikecam menggunakan bahasa Indonesia dalam sebuah kandungan video.
Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulizan, 26, menegaskan bahawa isu berkenaan tidak sepatutnya diperbesar-besarkan memandangkan dia sentiasa berbangga dengan asal usul kedua-dua belah keluarganya.
“Saya rasa isu ini sebenarnya pandangan peribadi saya tidak perlu diperbesar-besarkan sebab sampai ke liang lahad pun saya bangga mempunyai darah Malaysia dan Indonesia.
“Dalam masa sama, saya berbangga bawa budaya Malaysia dari lagu (raya) saya, Jodoh Lebaran dan Ketipak Ketipung Raya serta lagu joget untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza bergenre zapin akan datang.
“Saya suka budaya Malaysia tetapi dalam masa sama, saya ada sisi Indonesia yang saya perlu angkat dan banggakan kerana saya sangat menyukainya. Saya sukakan budayanya terutamanya dari segi pemakaian.
“Jadi itu adalah risiko untuk memiliki darah campuran yang dikatakan serumpun tetapi orang kata mana satu kita nak angkat,” katanya usai program Big Stage X Rocketfuel, kelmarin.
Sedar perbezaan budaya dan persepsi masyarakat antara cabaran yang perlu dihadapi, pelantun lagu Tak Adil itu berjanji akan mengutamakan penggunaan bahasa Melayu selepas ini.
“Saya berada di tengah-tengah yang cuba untuk membawa kedamaian dalam setiap perkara.
“Bagi saya, sepatutnya tiada sebarang masalah dan semuanya akan baik-baik sahaja.
“Tapi saya ambil baik juga mungkin ada yang kata sebab itu platform Malaysia. Jadi, saya akan cuba lebihkan lagi bercakap Melayu,” ujarnya.
Sebelum ini, Aisha dikecam gara-gara menggunakan dialek bahasa Indonesia ketika muncul dalam sebuah kandungan video YouTube bersama penyanyi Wani Kayrie bagi cabaran menyambung lirik lagu irama Malaysia.
Sumber – KOSMO! ONLINE





