SINGAPURA: Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang bakal beroperasi akan mengukuhkan lagi kesalinglengkapan ekonomi antara Singapura dan Malaysia, kata Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam.
Bercakap kepada media Singapura di Kuala Lumpur pada akhir lawatan negaranya ke Malaysia dari 12 hingga 15 Julai, Tharman berkata, Singapura dan Malaysia sedang membina perkongsian ekonomi yang lebih matang bagi memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Bukan lagi rahsia bahawa dengan hubungan ekonomi yang semakin erat dengan Johor, misalnya menerusi JS-SEZ dan RTS Link, akan ada sebahagian perniagaan di Singapura yang terjejas. Sebahagian sektor perkhidmatan juga akan terjejas.
“Namun, perniagaan dan sektor lain akan memperoleh manfaat dan secara keseluruhannya kedua-dua negara akan muncul sebagai pemenang. Kita perlu menerima hakikat bahawa di sebalik manfaat keseluruhan yang lebih besar, tetap akan ada pihak yang terjejas. Itulah cara berfikir yang lebih matang dalam melihat hubungan dua hala di kedua-dua pihak,” katanya.
Transkrip kenyataan beliau disiarkan di laman sesawang Pejabat Presiden Singapura.
JS-SEZ bertujuan meningkatkan kesalinghubungan rentas sempadan, memperkukuh ekosistem perniagaan, menarik industri dan bakat bernilai tinggi, serta mengukuhkan kedudukan rantau ini sebagai hab pelaburan dan ekonomi utama.
RTS Link yang menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura pula dijangka meningkatkan kesalinghubungan antara Malaysia dan Singapura. Ia dijadual memulakan operasi pada Januari 2027.
Tharman berkata, Singapura dan Malaysia turut berkongsi komitmen terhadap perdagangan dan pelaburan terbuka, di samping berusaha mempelbagaikan hubungan perdagangan masing-masing dalam menghadapi perpecahan geopolitik yang semakin ketara.
“Dalam dunia yang semakin berpecah, kami juga ingin mempelbagaikan hubungan perdagangan, sama ada secara individu mahupun sebagai sebuah rantau, dan sedaya upaya mengelakkan diri daripada dipaksa oleh perkembangan geopolitik untuk memilih sama ada blok yang diterajui Amerika Syarikat (AS) atau blok yang diterajui China.
“Kita perlu berinteraksi dengan setiap kuasa besar dan memperluas hubungan kita dengan rantau lain di dunia. Pemikiran Malaysia dan Singapura amat sehaluan dalam perkara itu,” katanya.
Mengenai isu maritim, Tharman berkata, Singapura dan Malaysia berkongsi pandangan bahawa semua pihak perlu mematuhi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS), yang menjamin hak untuk melalui selat yang digunakan bagi pelayaran antarabangsa dengan selamat.
“Kami juga ingin mempromosikan cara Selat Melaka dan Selat Singapura diuruskan secara bersama oleh tiga negara pesisir, iaitu Indonesia, Malaysia dan Singapura, serta bagaimana kami bekerjasama dengan negara pengguna dan industri, bukan melalui kutipan tol atau yuran, sebaliknya menerusi sumbangan secara sukarela bagi menyokong keselamatan pelayaran dan perlindungan alam sekitar.
“Pendekatan ini telah terbukti berkesan dan menjadi contoh bagaimana negara pesisir dapat mengurus laluan air antarabangsa dengan cara yang saling menguntungkan semua pengguna serta, yang lebih penting, mematuhi undang-undang laut. Kami berkongsi pandangan yang sama mengenai perkara itu,” katanya.
Tharman berkata, Singapura dan Malaysia turut berkongsi pandangan strategik yang sama mengenai ASEAN dan percaya blok serantau itu mempunyai potensi ekonomi yang besar yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Beliau berkata Malaysia juga berminat untuk bekerjasama rapat dengan Singapura dalam pelbagai inisiatif serantau apabila negara kota itu menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan.
Sumber – Berita Harian





