KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 20 Julai ini bagi keputusan balu kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung tiga pertuduhan subahat rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.
Keputusan sama ada Zizie Izette, 48, dilepas atau disabitkan atas tiga pertuduhan diakhir kes pembelaannya akan ditentukan Hakim Rosli Ahmad yang telah selesai mendengar hujahan lisan daripada kedua-dua pihak hari ini.
Mahkamah turut mengarahkan pihak-pihak memfailkan hujahan tambahan sebelum atau pada 9 Julai ini sebelum tarikh keputusan itu.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Mohd. Fadhly Mohd. Zamry manakala Zizie Izette diwakili peguam-peguam K.Kumaraendran, M.Athimulan dan Ridha Abdah Subri.
Sebelum ini Mahkamah Sesyen telah menetapkan hari ini bagi hujahan lisan kes rasuah itu selepas peguam Kumaraendran yang mewakili Zizie Izatte memaklumkan bahawa pihak pembelaan menutup kesnya selepas Zizie Izette selesai memberi keterangan pada 5 Mac lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi suaminya mendapat kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.
Bagi pertuduhan kedua, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar untuk memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan serupa.
Bagi pertuduhan ketiga, beliau juga dituduh bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan sama.
Zizie Izette didakwa melakukan semua kesalahan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini pada 12 Jun dan 19 Jun 2015 mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,
Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Sesyen di sini melepaskan dan membebaskan Allahyarham Bung Moktar daripada tiga pertuduhan rasuah itu selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap Bung Moktar yang meninggal dunia pada 5 Disember 2025.
Sumber – KOSMO! ONLINE





