PETALING JAYA – Pelakon Syatilla Melvin berpandangan, orang ramai terlalu ghairah mengejar peluang menunaikan hajat di Tanah Suci sehingga terlupa insan paling hampir, iaitu ibu, yang doanya mustajab.
Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 35, berkongsi perkara tersebut selepas mendengar satu ceramah agama menyentuh soal keberkatan doa seorang ibu.
“Saya dengar ceramah seorang ustaz, dia kata ramai orang berebut mahu ke Mekah untuk berdoa di hadapan Kaabah agar hajat dimakbulkan.
“Tapi mereka lupa dalam rumah mereka sendiri ada susuk seorang ibu yang lebih hebat, dahsyat dan mustajab doanya,” katanya dalam Threads.
Tambah pelakon drama Selafaz Cinta itu, peluang memiliki ibu masih hidup seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin, terutama dalam mendapatkan keberkatan doa.
“Ya Allah, bagi mereka masih ada ibu, mintalah doa setiap hari walaupun perkara sekecil-kecilnya,” ujarnya.
Perkongsian tersebut menyentuh hati ramai apabila rata-rata netizen bersetuju dan mengakui sering terleka dengan perkara tersebut.
“Betul sangat, doa ibu tiada tandingan.
“Kadang-kadang kita lupa minta doa ibu walaupun setiap hari jumpa.
“Semoga kita semua lebih menghargai ibu selagi masih ada,” tulis netizen.
Bagaimanapun, terdapat juga segelintir pihak memberi pandangan berbeza, namun majoriti tetap menyokong mesej disampaikan yang dianggap penuh pengajaran serta menyentuh nurani.
Sumber – KOSMO! ONLINE





