PETALING JAYA – Anak sulung pelakon Norish Karman iaitu Nur Hanyz Amanda mendedahkan ibunya sering menasihatkan agar tidak melayan segala komen negatif netizen mengenai keluarga mereka dalam media sosial.
Amanda berkata, semua komen tersebut meninggalkan kesan buat dirinya terutama tuduhan dia tidak bekerja untuk membantu menyara keluarga.
“Ada satu masa, saya baca terlalu banyak komen dan saya tanya ibu saya, ‘adakah saya hidup saya ini menyusahkan awak?’ sebab semua minta saya kerja.
“Kerja saya sekarang ini sebagai tutor, memasak, jaga adik-adik dan mak saya.
“Mak saya jawab, ‘tidak, awak tak susahkan saya, jangan baca semua itu dan cakap begitu. Yang penting apa yang saya fikirkan tentang awak’” katanya dalam satu temu bual audio siar.
Mempertahankan diri, Manda menegaskan dia sudah membanting tulang mencari rezeki untuk keluarga sejak berusia 13 tahun.
“Seawal umur 13 (tahun) lagi saya dah mula berniaga pisang goreng, masak pasta dan nasi goreng kemudian ketika umur 16 saya buat kerja-kerja pembersihan.
“Tak semestinya kerja hanya di pejabat sahaja. Bukannya saya tidak mencari rezeki mengikut waktu pukul 9 pagi hingga 5 petang maksudnya saya tak bekerja?
“Tak adil nak cakap begitu,” katanya lagi.
Terdahulu, kehidupan keluarga Norish menjadi tumpuan ramai terutama selepas muncul dalam siaran langsung bersama Datuk Seri Aliff Syukri.
Ramai yang menasihati anak-anak aktres itu supaya keluar bekerja bagi membantu menyara keluarga susulan tiada sumber kewangan yang stabil.
Sebelum itu, Amanda pada 9 April lalu memaklumkan Norish berada dalam keadaan membimbangkan dan dikategorikan sebagai pesakit berisiko tinggi selepas dimasukkan ke sebuah hospital.
Sumber – KOSMO! ONLINE





