KANOWIT, 17 November 2025 – Seramai 172 orang sukarelawan siswa termasuk lapan orang siswa dari Vietnam dan dua orang siswa dari Singapura telah terpilih dalam MADANI Berkhidmat: Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke Sarawak 2025 seiring dengan Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia melalui kerjasama dalam bidang kesukarelawanan dan pembangunan belia serantau. Perkara tersebut dinyatakan oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara semasa menyempurnakan Majlis Penutup Malam Ini Warisan Kita MADANI Berkhidmat: Misi Sukarelawan Siswa YSSASEAN Ke Sarawak 2025.

YB Datuk Aaron Ago Dagang dalam ucapannya berkata, tujuan utama pelaksanaan misi sukarelawan siswa oleh Kementerian Perpaduan Negara melalui Yayasan Sukarelawan Siswa ini adalah untuk membina jambatan antara komuniti, dengan mempertemukan anak muda dari Semenanjung, Sabah, dan Sarawak untuk berkongsi pengalaman, menimba kefahaman budaya, serta menanam semangat kebersamaan melalui pelaksanaan projek-projek komuniti seperti mengindahkan kawasan kampung, dapur komuniti, kem kepimpinan serta program saringan kesihatan.
“Saya percaya, di tangan generasi muda seperti anda, tersimpan harapan baharu untuk Malaysia yang lebih inklusif, matang dan berperikemanusiaan. Perpaduan sejati tidak akan terjamin hanya dengan dasar atau kempen kerajaan; ia akan subur apabila rakyat, khususnya anak muda, memilih untuk memahami, menghormati, menerima dan meraikan perbezaan. Oleh itu, teruslah menjadi ejen perubahan dan penyatu masyarakat. Bawa semangat perpaduan ini ke universiti, ke tempat kerja, ke komuniti, dan ke mana sahaja anda melangkah. Jadikan nilai kasih sayang, hormat, dan tanggungjawab sosial sebagai teras dalam setiap tindakan kerana di situlah terletaknya karakter sebenar Belia Malaysia MADANI”, tambah beliau.

Pada masa yang sama, tema “Perpaduan Melalui Kesukarelawanan” telah diangkat sebagai satu komitmen bahawa usaha membina Negara Bangsa yang tidak hanya bergantung kepada dasar dan penyataan polisi semata-mata, tetapi turut digerakkan melalui penyertaan aktif rakyat khususnya golongan belia di peringkat akar umbi dalam kerja khidmat masyarakat, misi kemanusiaan, dan aktiviti komuniti rentas budaya selaras dengan hala tuju Kementerian menerusi Yayasan Sukarelawan Siswa. Sehingga Oktober 2025, YSS telah melaksanakan 86 Misi Sukarelawan dan melahirkan 2,284 orang alumni, termasuk 273 alumni ASEAN dan China.





