KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga akta berkaitan akan dipinda tahun depan bagi membolehkan sistem pembayaran tol aliran pantas pelbagai lorong atau Multi Lane Fast Flow (MLFF) dilaksanakan di negara ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tiga akta tersebut adalah Akta Jalan Persekutuan 1959, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)
“Antara perkara yang akan dipinda iaitu tentang kesalahan tidak bayar tol, maklumlah palang tol tidak ada dan siapakah yang hendak melaksanakan.
“Kemungkinan besar LLM daripada segi penguatkuasaan siapa yang tidak bayar tol. Tiga akta ini akan dipinda tahun depan supaya MLFF boleh dilaksanakan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Zahir Hassan (Wangsa Maju-PH) berhubung langkah kerajaan untuk memastikan kesemua 33 pemegang konsesi lebuh raya berhijrah kepada MLFF.
Zahir bertanyakan soalan tersebut dengan membangkitkan insiden kemalangan maut dan kesesakan yang berlaku di plaza tol disebabkan sistem bayaran tol sedia ada.
Menjawab soalan tambahan Dr. Halimah Ali (PN-Kapar), Ahmad berkata, pelaksanaan MLFF tidak akan membabitkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan.
Menurut beliau, kerajaan tidak perlu mengeluarkan kos sebanyak RM3 billion untuk melaksanakan sistem bayaran tol tersebut kerana Kabinet telah bersetuju ia dilakukan melalui Bisnes To Bisnes (B2B).
“Konsesi kena pilih sistem yang kompetetif bagi kita memastikan pengguna tidak dikenakan caj tambahan,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE





