KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 pada 29 November ini, dibenarkan untuk menangguhkan perbicaraan bela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta di Mahkamah Sesyen di sini Khamis.
Hakim, Rosli Ahmad menangguhkan prosiding yang sepatutnya berlangsung pada 27 November dan 3 Disember, ke 12 hingga 14 Januari tahun depan.
Mahkamah memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fadhly Mohd Zamry memberitahu bahawa, peguam tertuduh telah membuat permohonan penangguhan kepada mahkamah pada Selasa minggu lalu.
Berdasarkan surat yang dihantar pada 4 November, pembelaan memohon penangguhan perbicaraan atas alasan PRN17, pada dua minggu lagi.
Beliau turut menangguhkan kes bersubahat yang dihadapi isteri Bung Moktar, Datin Seri Zizie Izette A Samad.
Pada prosiding seterusnya, pihak pembelaan dijangka akan memanggil Zizie Izette untuk memberi keterangan.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa atas dua pertuduhan secara rasuah memperoleh untuk dirinya, suapan wang tunai RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur RM150 juta dalam unit Public Mutual amanah.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu didakwa menerima suapan daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad dan akaun Public Islamic Treasures Growth Fund atas nama isterinya.
Dua kesalahan didakwa dilakukan di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015 dan 12.16 tengah hari, 19 Jun tahun sama.
Bagi pertuduhan ketiga, Bung Moktar didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette atas sebab dan tempat yang sama, jam 12.28 tengah hari pada 19 Jun 2015.
Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di lokasi, tarikh dan masa sama.
Sumber – Sinar Harian





