Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh hadir melancarkan Program Realiti Jaguh Rakan Muda di 1 Utama, Damansara, Petaling Jaya hari ini. Program Jaguh Rakan Muda merupakan sebuah inisiatif pembangunan belia berimpak tinggi yang bertujuan menyerlahkan keupayaan serta potensi anak muda Malaysia melalui pelbagai cabaran fizikal dan mental.
Jaguh Rakan Muda berteraskan 10 Gaya Hidup Rakan Muda merupakan salah satu usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk terus menyemarakkan program Rakan Muda melalui pelbagai pendekatan inovatif yang selari dengan cita rasa belia masa kini.
Penganjuran program ini merupakan kesinambungan misi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam memperkukuh jenama Rakan Muda sebagai payung utama gaya hidup belia Malaysia. Program Jaguh ini akan ditayangkan di Astro mulai pertengahan November hingga pertengahan Disember 2025. Program Jaguh juga boleh diakses melalui platform digital Astro di Saluran Astro Ria, Astro AEC, Astro Vinmeen HD, serta aplikasi Astro GO dan Sooka.
Dengan penyertaan belia dari seluruh negara, program ini merupakan pertandingan realiti yang seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI, dengan menekankan nilai kemampanan, keyakinan, hormat, ihsan serta unsur inovasi dan kepimpinan. Setiap episod menampilkan cabaran berbeza yang mencerminkan semangat Gaya Hidup Rakan Muda, antaranya Rakan Demokrasi, Rakan Ekspresi, Rakan Aktif, Rakan Mahir dan Rakan Prihatin.
Program Jaguh Rakan Muda bukan sekadar program realiti televisyen. Melalui penyiarannya ke seluruh Malaysia, program ini diharap dapat:
- menarik minat rakyat Malaysia khususnya golongan belia untuk mengamalkan gaya hidup sihat ke arah merakyatkan dan membudayakan sukan;
- membangunkan kapasiti peserta ke arah melahirkan generasi muda yang berdaya saing, kreatif dan mempunyai semangat kesukarelawanan yang tinggi; dan
- menonjolkan semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan belia pelbagai kaum melalui pelaksanaan Gaya Hidup Rakan Muda, yang merangkumi aktiviti sukan dan rekreasi sebagai medium memupuk nilai kebersamaan, hormat-menghormati dan solidariti sosial.
Turut hadir ialah YBrs. Puan Azura binti Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN),KBS.





