KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei, menegaskan keputusannya untuk kembali berkhidmat bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semata-mata kerana cinta kepada sukan itu dan niat untuk melonjakkan prestasi sukan berkenaan ke tahap lebih tinggi.
Pada Sabtu lalu, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan pelantikan pemenang pingat pingat perak Olimpik tiga kali itu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM.
Bercakap kepada BH Sukan, Chong Wei berkata beliau menerima tanggungjawab itu secara sukarela dan menegaskan tiada isu gaji atau imbuhan dalam penglibatannya.
“Saya terima tanggungjawab ini secara sukarela, saya tidak menerima sebarang gaji. Darah yang mengalir dalam badan saya adalah darah badminton.
“Ini bukan sekadar kerja, ini satu cara untuk membalas jasa BAM yang banyak membantu kerjaya saya selama 19 tahun,” kata Chong Wei, sambil menegaskan niatnya hanya untuk membantu dan berkongsi pengalaman.
Beliau juga menyinggung beberapa kritikan berhubung pelantikan itu namun enggan melatah.
“Ada orang beri komen, ada yang kata ini salah, itu salah. Saya faham… masuk pun orang kritik, tak masuk pun orang kritik. Tapi fokus saya hanya satu, nak bantu badminton,” tambahnya.
Chong Wei yang bersara pada 2019 sebagai pemain menekankan beliau bukan mencari kuasa atau kedudukan.
“Saya bukan mahu kuasa. Saya mahu bantu, berkongsi dengan jurulatih, berkongsi dengan pemain.
“Saya lebih suka berfungsi di belakang tabir untuk perkara prestasi,” katanya.
Beliau juga menggalakkan jurulatih dan pegawai untuk saling berkomunikasi dan bekerjasama.
“Apa yang penting jurulatih kena kerja bersama. Kita kongsi pengalaman, kita bantu pemain. Itu yang saya mahu lihat,” katanya.
Sumber – Berita Harian





