KUALA LUMPUR: Pelakon dan pempengaruh media sosial, Haneesya Hanee menyatakan sokongan penuh terhadap gerakan memboikot sambutan Hari Kebangsaan selagi kes kematian Allahyarham Zara Qairina, 13, tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Menurutnya, tindakan itu tercetus selepas melihat video di media sosial yang mengajak orang ramai tidak meraikan Hari Merdeka tahun ini, termasuk tidak turun ke Dataran Merdeka, selagi keadilan untuk Zara belum ditegakkan.
“Saya rasa ini idea yang bijak dan saya mahu sokong gerakan ini. Zara hanya 13 tahun, tetapi sudah melalui macam-macam penderitaan.
“Kalau benar semua dakwaan yang tersebar tentang punca kematiannya, ia amat mengerikan. Saya tak dapat bayangkan bagaimana perbuatan kejam seperti itu boleh dilakukan oleh pelajar seusia dia. Terlalu jelas ada pihak yang bersalah, tetapi kenapa mahu dikuburkan isu ini?
“Rakyat tak perlu jadi polis atau FBI untuk nampak perkara ini. Macam itu sahaja mahu biar selepas apa yang dia lalui?”katanya menerusi satu hantaran video di Instagram.
Mengaitkan isu itu dengan sambutan Hari Kebangsaan, Haneesya menegaskan kemerdekaan sebenar ialah apabila rakyat hidup selamat, bermaruah dan mendapat keadilan.
“Kalau macam ini keadaannya, kita belum benar-benar merdeka. Kita cuma bebas daripada penjajah, tetapi masih dibelenggu ketidakadilan.
“Sebab itu saya tidak akan turun ke Dataran Merdeka atau memuat naik tentang bendera pada 31 Ogos selagi tiada keadilan untuk Zara,” katanya.
Menurut Haneesya, dia juga ada terbaca informasi mengenai tindakan ibu Zara yang pernah hadir ke sekolah terbabit untuk membuat aduan mengenai kes buli yang dialami anaknya, namun tiada tindakan diambil.
“Kalau anak seorang, apatah lagi anak perempuan, mestilah mengadu pada ibu. Bila dah mengadu, kenapa sekolah tak bertindak? Kenapa tunggu sampai jadi tragedi?
“Sepatutnya pihak yang bersalah ditangkap bersama warden-warden sekali,” tegasnya.
Selain itu, pelakon ini turut mengecam tindakan pengetua yang didakwa meminta orang ramai berdiam diri mengenai kes tersebut.
“Awak gagal menjaga keselamatan pelajar, tapi berani pula suruh orang diam? Itu memang tak masuk akal,” katanya.
Sementara itu, mengulas laporan bahawa kejadian itu berlaku di sebuah sekolah agama, Haneesya menegaskan hal itu tidak wajar dikaitkan dengan ajaran Islam.
“Sekolah agama pun tidak sepatutnya berlaku perkara sebegini. Agama saya yang indah ini tidak mengajar menutup kesalahan.
“Salah tetap salah. Saya harap perkara ini tidak menjejaskan imej Islam,” ujarnya.
Dalam pada itu, Haneesya menyeru sesiapa yang mengetahui maklumat sebenar atau mempunyai bukti supaya tampil membuat laporan terus kepada pihak berkuasa dan bukan sekadar memuat naik di media sosial.
“Kalau terus muat naik online untuk kejar populariti, takut bukti itu tak cukup kukuh di mahkamah. Pihak lain boleh manipulasi dan dakwa ia diubah suai.
“Terus pergi buat laporan, jangan takut. Ramai rakyat Malaysia menyokong. Ini bukan sekadar kes buli, tetapi sudah menjadi kes jenayah. Tidak ada alasan untuk melindungi kesalahan. Salah tetap salah,” katanya.?
Sumber – Utusan





