Saturday, June 13, 2026
HomeHIBURANFigura Seni Suara Generasi Baharu Lancar EP Sulung “W2K” & Single “Biarkan”...

Figura Seni Suara Generasi Baharu Lancar EP Sulung “W2K” & Single “Biarkan” Terbitan Rocketfuel Entertainment

KUALA LUMPUR, 25 JULAI 2025 – Penyanyi muda penuh bakat dan karisma, Wani Kayrie, hari ini melakar satu lagi detik penting dalam kerjaya seninya menerusi pelancaran EP sulung berjudul W2K, yang diumumkan secara rasmi dalam acara sidang media eksklusif digelar “Wani Kayrie Listening Party” bertempat di MyTOWNKL, dengan kerjasama ASR Festival oleh Ascott.

Dianjurkan oleh label hiburan terkemuka negara, Rocketfuel Entertainment, sidang media istimewa ini turut menjadi pentas pelancaran rasmi single terbaharu Wani bertajuk “Biarkan” – sebuah balada meruntun jiwa yang mewakili kedewasaan muzik dan ekspresi jiwa Wani Kayrie sebagai seorang anak seni yang kini tampil dengan suara dan identiti baharu.

“EP Ini Untuk Semua Yang Menanti

Selepas bertahun-tahun meniti perjalanan seni, Wani akhirnya menzahirkan impiannya menerusi EP pertama – hasil dorongan ramai yang tidak pernah berhenti percaya.

“Akhirnya setelah sekian lama, saya dapat hadiahkan album mini ini kepada semua yang setia menanti. Ini adalah antara momen paling bermakna buat saya. Saya terharu, teruja dan sangat bersyukur – lebih-lebih lagi kerana permintaan album ini datang dari peminat, keluarga dan rakan-rakan yang percaya kepada bakat saya,” ujar Wani penuh emosi.

EP “W2K”: Nama, Jiwa & Aspirasi Anak Seni Lahir Tahun 2000Berkongsi mengenai tajuk EP yang unik itu, Wani menjelaskan: “Saya lahir tahun 2000, jadi nama W2K itu bukan sahaja simbolik kepada tahun kelahiran saya, tetapi juga mewakili sisi baharu saya sebagai penyanyi. Lagu-lagu dalam EP ini semuanya berbeza, tiada vibe yang sama, jadi ia menunjukkan kepelbagaian muzik saya,” kata Wani.

Tambahnya lagi, konsep W2K juga selari dengan trendsemasa anak muda yang cenderung kepada elemen gaya hidup “Y2K” termasuk dari segi fesyen, muzik dan juga ekspresi diri: “Saya mahu EP ini relevan, trendy dan dekat dengan jiwa generasi saya.”

5 Lagu, 5 Cerita, 5 Getaran Berbeza

W2K menghimpunkan lima buah trek, iaitu:

1. Cak Cak Cekuk
2. Serius Ah
3. Aiman Tino
4. Matahari
5. Biarkan
Setiap satu lagu ini dihasilkan bersama barisan komposer dan penulis lirik hebat tempatan seperti Iqie Hugh, Hanis Rafi, Omar K, Shazriq Azeman, MFMF, Ezra Kong, Shane Kennedy, Karim Karam dan ramai lagi. Gabungan nama-nama besar ini menjadikan W2K sebuah karya yang merangkumi pelbagai genre, emosi dan energi yang menyegarkan.
Wani juga berkongsi tentang lagu yang paling dekat di hatinya: “Saya suka lagu Cak Cak Cekuk kerana gemarkan lagu-lagu yang memberi semangat dan memartabatkan budaya. Dalam hidup ini kita tidak lari dari cabaran, jadi lagu seperti ini boleh buat kita rasa positif, yakin dan terhibur.”
Single Terbaharu “Biarkan”
Selain EP, karya bernuansa balada yang meruntun jiwa tentang kisah cinta yang tidak kesampaian ini turut dilancarkan serentak.
“Lagu ini tentang melepaskan sesuatu yang tidak lagi baik untuk kita walaupun masih ada perasaan sayang itu . Kadang-kadang, ‘biarkan’ adalah cara yang terbaik untuk kita sembuh,” ujar Wani sambil mengakui bahawa proses rakaman lagu ini turut memberi cabaran tersendiri.
“Saya perlu rekod lagu ini pada hari berbeza, tapi saya harus kekalkan emosi yang sama. Memang mencabar, tapi berbaloi kerana saya puas hati dengan hasilnya.”
Bukti Transisi & Kematangan Dalam Muzik
Melihat kembali permulaan kerjaya seniya kira-kira sedekad lalu menerusi lagu “Jangan Jangan”, Wani menganggap EP W2K ini sebagai satu transisi penting yang menandakan evolusi dirinya sebagai penyanyi.
“Bagi saya, W2K adalah transisi yang sangat penting. Ia menampilkan konsep, gaya dan genre muzik yang lebih segar – untuk peminat lama dan juga pendengar baharu yang mungkin baharu hendak mengenali Wani Kayrie.
Reaksi awal oleh peminat terhadap lagu-lagu dalam EP ini amat memberangsangkan, kongsinya:
“Alhamdulillah, ramai yang teruja kerana setiap lagu ada gaya yang tersendiri. Saya harap W2K menjadi playlist harian mereka!”
Harapan & Mimpi

Menutup sesi perbualan dengan penuh harapan, Wani berpesan kepada semua peminat dan anak muda yang punya impian.

“Saya harap W2K bukan sekadar hiburan – tetapi menjadi inspirasi. Kalau saya boleh capai impian ini, anda pun boleh. Jangan takut untuk mencipta ruang sendiri dalam hidup anda. Percaya dan teruskan,” pesan Wani penuh makna.

Dengarkan Di Semua Platform Digital

EP “W2K” dan single “Biarkan” terbitan Rocketfuel Entertainment kini boleh didapati di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music dan banyak lagi bermula 25 Julai 2025.

Untuk info lanjut dan kemaskini terkini, ikuti media sosial rasmi Wani Kayrie dan juga Rocjetfuel Entertainment

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘7 Tahun Tak Kerja, Saya Tak Nak Susahkan Isteri-Isteri’

0
KUALA LUMPUR – Tujuh tahun tidak aktif dalam industri seni dan hiburan dengan segala wang simpanan telah habis digunakan, penghibur versatil Salih Yaacob mengakui...

CATEGORIES