Las Vegas: Penyanyi sensasi, Billie Eilish muncul sebagai pemenang terbesar di Anugerah Muzik Amerika 2025 (AMA 2025) apabila menggondol tujuh trofi, termasuk kategori utama seperti Artis Terbaik dan Album Terbaik menerusi Hit Me Hard and Soft.
Selain itu, Eilish turut dinobatkan sebagai Artis Pop Wanita Terbaik, Artis Jelajah Terbaik, serta Album Pop Kegemaran.
Lagu hitnya Birds of a Feather turut memenangi Lagu Terbaik dan Lagu Pop Kegemaran, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara bintang paling berpengaruh masa kini.
Penyanyi rap Post Malone turut mencuri perhatian apabila pertama kali memenangi kategori Artis Lelaki Country Kegemaran.
Turut mencatat kemenangan ialah rapper legenda, Eminem yang membawa pulang dua trofi selepas 15 tahun menerusi kategori Artis Hip-Hop Lelaki Kegemaran dan Album Hip-Hop Kegemaran menerusi The Death of Slim Shady (Coup De Grace).
Penyanyi ikonik, Beyonce pula memenangi dua kategori country iaitu Artis Country Wanita Kegemaran dan Album Country Kegemaran menerusi lagu Cowboy Carter.
Lady Gaga dan Bruno Mars turut diiktiraf menerusi kolaborasi mereka Die With a Smile yang memenangi Video Muzik Kegemaran dan Kolaborasi Terbaik Tahun Ini.
Gaga juga diumumkan sebagai Artis Dance/Elektronik Kegemaran sekali gus menandakan kejayaan kali kedua bagi kategori itu.
Mars pula turut meraih anugerah Artis Pop Lelaki Kegemaran yang menyaksikan kejayaan kali ketiganya bagi kategori terbabit.
Penyanyi baharu Gracie Abrams dinobatkan sebagai Artis Baharu Terbaik, manakala Doechii memenangi Lagu Sosial Terbaik menerusi lagu penuh emosi bertajuk Anxiety.
Duo country Dan + Shay pula memenangi kategori Duo/Kumpulan Country Kegemaran, sementara kolaborasi Post Malone dan Morgan Wallen melalui lagu I Had Some Help dinobatkan sebagai Lagu Country Kegemaran.
Rapper Megan Thee Stallion tidak ketinggalan memenangi Artis Hip-Hop Wanita Kegemaran, dan lagu Not Like Us oleh Kendrick Lamar diangkat sebagai Lagu Hip-Hop Kegemaran.
Legenda pop Janet Jackson menerima Anugerah Ikon dan kembali membuat persembahan di pentas secara langsung selepas tujuh tahun. Jackson mempersembahkan lagu Someone to Call My Lover dan All For You sebelum menerima anugerah berprestij terbabit.
Penyanyi veteran Rod Stewart pula diraikan menerusi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, yang disampaikan oleh lima anaknya.
Stewart turut menutup acara gilang-gemilang itu dengan lagu Forever Young.
Dalam pada itu, penyanyi Taylor Swift, yang memegang rekod sebagai penerima terbanyak AMA dengan 40 anugerah, tidak menambah koleksinya tahun ini walaupun menerima enam pencalonan.
Majlis berprestij itu turut diserikan dengan kehadiran selebriti terkenal seperti Nikki Glaser, Shaboozey, Dylan Efron dan Cara Delevingne sebagai penyampai anugerah.
Sumber – Kosmo! Online





