PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) bukan bertujuan menekan atau menjejaskan operasi pengamal perubatan swasta (GP).
Menurut KKM dalam satu kenyataan, hari ini, ia sebaliknya adalah langkah ke arah mewujudkan sistem kesihatan lebih telus, adil dan mampan selaras aspirasi Kerajaan MADANI.
“KKM mengambil maklum mengenai perhimpunan aman oleh kumpulan pengamal perubatan swasta yang diadakan pagi ini di Putrajaya bagi menyerahkan memorandum membantah pelaksanaan Akta 723 berkaitan penandaan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta dan farmasi komuniti.
“Kami sentiasa mengamalkan pendekatan terbuka serta inklusif, dan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan telah dan akan terus diadakan bagi memastikan pelaksanaan yang seimbang serta tidak membebankan mana-mana pihak,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak KKM bersedia untuk meneliti kandungan memorandum yang dikemukakan dan mempertimbangkan sebarang penambahbaikan dasar berdasarkan bukti serta data semasa.
“Keutamaan KKM ialah memastikan akses kepada ubat-ubatan yang munasabah dan mampu milik serta memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap sistem kesihatan negara,” katanya.
Pada 30 April lalu, KKM serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam satu kenyataan bersama memaklumkan Inisiatif Penandaan Harga Ubat di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti dijadualkan berkuat kuasa 1 Mei.
Sumber – Berita Harian





