Seiring dengan kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia, maka sudah pasti apa saja bidang kerja yang tersedia akan diisi oleh pelbagai kaum.
Begitulah juga dengan industri seni yang membuka ruang kepada pelbagai kaum sama ada Melayu, Cina, India dan sebagainya untuk bergabung dalam satu karya.
Malah, sejak era legenda Allahyarham Tan Sri P Ramlee lagi sudah diketengahkan pembabitan pelbagai kaum dalam filemnya yang ‘evergreen’ sampai sekarang.
Terbaharu, filem masih hangat di pawagam seluruh negara iaitu Blood Brothers: Bara Naga arahan bersama Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra kini mencatat kutipan ‘box office’ melebihi RM50 juta.
Berbicara kejayaan filem ini, Abhilash berkata, ia adalah karya seni Malaysia yang dihasilkan oleh anak tempatan membabitkan gabungan pelbagai bangsa dengan jalan cerita terbaik.
“Saya gembira dan bersyukur dapat terbabit dalam filem Blood Brothers ini kerana ia adalah karya Malaysia. Walaupun saya bukan orang Melayu, tetapi cara bekerja kami amat profesional.
“Tidak kira siapa saja sama ada pengarah, pelakon dan kru produksi, kami semua saling membantu dan ingin buat yang terbaik untuk filem Blood Brothers ini,” katanya.
Abhilash yang baru 11 tahun aktif dalam pembikinan filem tempatan berkata, menjadi impiannya juga agar dapat membawa penonton pelbagai kaum ke pawagam untuk menyaksikan filem Malaysia.
“Sudah tiba masanya kita semua sebagai rakyat Malaysia menyokong filem tempatan kerana ini karya Malaysia. Jangan pandang ia sebagai produk tertentu daripada satu bangsa.
“Sebenarnya di belakang tabir itu, ada bermacam orang yang bekerja. Jadi, saya berharap tidak perlu mengira dari kaum apa, tapi datanglah ke pawagam untuk menyokong filem Malaysia,” katanya.
Menurut Abhilash, untuk dirinya dia meletakkan kira-kira 10 tahun lagi agar namanya mampu menjadi antara pengarah filem dikenali ramai sebagaimana rakan baiknya, Syafiq Yusof.
Filem Blood Brothers yang ditayangkan pawagam sejak 10 April lalu diibarisi pelakon seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Syazwan Zulkifly, Zamarul Hisham, dan Andy Teh.
Diiterbitkan oleh Skop Productions dan Primeworks Studios dengan bajet RM7 juta, filem bergenre aksi ini difahamkan mengangkat kisah kehidupan kumpulan mafia.
Andy puas buat babak aksi sendiri
Meskipun diberi kepercayaan melakonkan watak ‘villain’ sebagai Pablo yang tidak kurang kuatnya, namun Andy mengakui agak mencabar juga apabila bekerja di bawah arahan Abhilash.
Menurutnya yang melakonkan watak ‘villain’ sebagai Pablo, apabila ada dua pengarah dalam satu filem maka, cara kerja pasti berbeza dengan sentuhan tersendiri masing-masing.
“Apa yang boleh saya kata, Abhilash adalah seorang yang sangat teliti dalam hasil kerjanya. Dalam lakonan saya, benda yang kecil pun dia boleh perasan kalau ada buat silap.
“Manakala, Syafiq pula tidak banyak cakap dan sangat fokus. Tapi, bekerja dengan Syafiq ini penuh kejutan seperti dia akan minta kita cuba buat aksi macam itu dan ini.
“Pada hal, kita tengok dia (Syafiq) rileks saja. Namun, dia memang banyak idea dan tahu apa yang dia nak. Jadi, pada saya sangat mudah juga bekerja dengan Syafiq berbanding Abhilash,” katanya.
Berbicara lanjut, Andy berkata dia juga puas melakonkan watak Pablo kerana hampir semua aksi ‘fighting’ membabitkannya dalam Blood Brothers dilakukan sendiri.
“Seronoklah, bila saya dapat buat babak aksi sendiri walaupun disediakan pelakon lagak ngeri lain. Bagi saya, sebagai pelakon lebih baik cuba buat sendiri untuk kumpul pengalaman juga.
“Tapi, ada satu babak aksi yang saya tidak dibenarkan buat kerana bimbang akan cedera dan mengganggu jadual penggambaran. Ia babak yang babitkan pecahan kaca.
“Saya memang nak buat sendiri, tapi risikonya dibimbangi alami kecederaan teruk. Jadi, selepas berbincang, saya kena akur untuk melepaskan babak itu atas faktor keselamatan diri,” katanya.
Andy berkata, dia bagaimanapun berharap agar filem Blood Brothers terus mendapat sambutan baik daripada penonton selama masih ditayangkan lagi oleh pawagam kerana inilah filem Malaysia.
Sumber – Harian Metro





