Sunday, May 31, 2026
HomeHIBURANRahim Jailani Risau Dianggap Sakit

Rahim Jailani Risau Dianggap Sakit

PETALING JAYA: Kesihatan pelakon veteran, Rahim Jailani, 64, yang terkena serangan jantung ketika tidur awal bulan ini kini stabil, malah dia sudah kembali bekerja.

Bercerita pengalaman dirawat di sebuah hospital di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Rahim berkata, doktor mengeluarkan kira-kira 3.7 liter air dari badannya.

“Alhamdulillah, berkat doa anak-beranak dan kawan-kawan, saya kembali stabil dan boleh buat aktiviti macam biasa. Itulah, penyakit jantung boleh serang pada bila-bila masa, semua bergantung kepada keadaan anda ketika diserang. Kalau anda lepas, anda kembali stabil. Kalau gagal, innalillahiwainnailaihirojiun.

“Alhamdulillah, saya hanya ditahan di hospital di Kuala Pilah selama empat hari dan stabil selepas itu,” katanya yang ditemui pada majlis Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) di sini, baru-baru ini.

Sebelum ini, anak Rahim, Muhamad Fadzlan Tasyriq, 25, berkongsi kisah bapanya dimasukkan ke hospital di Negeri Sembilan akibat serangan jantung ketika tidur.

Melalui hantaran di media sosial, Tasyriq memberitahu, ia kali kedua ayahnya terkena serangan jantung dan memohon orang ramai mendoakan kesembuhan pelakon veteran berkenaan.

Sementara itu, Rahim berkata, beliau mempunyai sejarah masalah jantung dan pernah mengalami serangan sama, kira-kira 13 tahun lalu.

Apa yang berlaku awal bulan ini dianggapnya sebagai salah sendiri.

“Kira-kira seminggu sebelum hari raya, cuaca panas melampau. Jadi, ketika berbuka, saya tidak kawal pemakanan, termasuk minum air bergas dan sebagainya.

“Ini terbawa-bawa hingga hari raya. Saya fikirkan okay, namun penyakit jantung kembali serang di mana air dalam paru-paru penuh. Jadi, saya lemas dan tidak boleh bernafas.

“Selain itu, saya lalai makan ubat. Ada satu ubat untuk pesakit jantung yang membantu buang air dalam badan. Saya lupa ambil ubat itu. Jadi, itulah antara punca. Saya bukan tak mahu makan ubat, sebaliknya terlupa,” katanya mengakui amat berdisiplin dalam mengambil ubat-ubatan sejak ditimpa masalah kesihatan.

Rahim bersyukur masalah kesihatan tidak menjejaskan kegiatannya sebagai anak seni, malah dia terbuka menerima tawaran berlakon pada usia sekarang.

“Terfikir juga apa akan jadi pada usia begini. Namun sekarang saya sudah okay dan kembali menunggu tawaran berlakon.

“Ketika terkena serangan jantung awal bulan ini, saya sepatutnya memulakan penggambaran sebuah drama. Namun, disebabkan sakit dan syarikat produksi tidak boleh tunggu saya pulih, saya tidak teruskan. Saya faham situasi ini kerana membabitkan orang lain,” katanya.

Rahim risau jika penerbit atau syarikat produksi masih menganggap dia sakit dan berdepan masalah kesihatan, sedangkan dia semakin stabil.

“Apabila orang dengar kita sakit, orang risau hendak ambil kita berlakon. Namun, sekarang saya sudah sihat, malah sudah mula bersukan seperti biasa,” katanya.

Rahim dikenali menerusi pelbagai watak dalam filem dan drama tempatan sejak era 1980-an. Antara naskhah dibintanginya adalah filem Gila-Gila Remaja 2, Coast Guard Malaysia: Ops Helang, Imam dan drama bersiri Gerak Khas.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Tamak? Kami Tak Kecil Hati, Ini Demi Kelangsungan’ – Awie

0
BUKAN tamak, kumpulan Wings sedia mengambil satu persatu tawaran persembahan dan konsert adalah atas permintaan ramai, sekali gus demi kelangsungan jenama band yang sudah...

CATEGORIES