Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia sekali lagi berhimpun di Arena Axiata, Bukit Jalil, seawal 6 petang esok, bagi menunjukkan solidariti serta sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin.
Himpunan Pembebasan Palestin itu juga antara lain adalah untuk menghantar mesej yang kuat kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dan kekejaman berterusan rejim Zionis.
Pada himpunan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan ucapan untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin bersama beberapa pemimpin lain yang akan hadir.
Anwar sebelum ini tidak pernah lekang untuk menegaskan pendirian Malaysia yang konsisten dalam membantu rakyat negara berkenaan, termasuk di pentas dunia.
Semalam, Perdana Menteri menyertai kira-kira 3,000 jemaah menunaikan solat jenazah ghaib buat Haniyeh di Masjid Negara sejurus selepas Solat Jumaat yang dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.
Haniyeh dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan tempat penginapannya di utara Tehran, kira-kira 2 pagi waktu Iran.
Beliau berada di ibu negara Iran itu untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran yang baharu, Masoud Pezeshkian.
Anwar pada Mei lepas pernah bertemu Haniyeh dan berpeluang menyampaikan ucapan takziah kepadanya yang kehilangan ahli keluarga dalam pengeboman kejam rejim Zionis.
Pada 24 Oktober tahun lepas, Himpunan Malaysia Bersama Palestin diadakan di Axiata Arena yang menghimpunkan pemimpin politik Kerajaan Perpaduan dan pembangkang bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin.
Lebih 15,000 rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang, agama dan bangsa telah menghadiri himpunan itu bagi menyampaikan mesej kepada dunia dan menunjukkan solidariti terhadap Palestin.
Sumber – Hmetro





