KOTA KINABALU: Pengawal keselamatan memberitahu Mahkamah Koroner di sini, hari ini, beliau menemukan Allahyarham Zara Qairina Mahathir terlentang dalam longkang dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tengkuknya berdarah, kira-kira jam 3 pagi pada 16 Julai lalu.
Linah Mansoding @ Jaliha, 65, yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar sejak 1 Julai 2012, berkata pada hari kejadian kira-kira jam 2 pagi, dia membuat rondaan di asrama perempuan Blok Rabiatul Adawiyah dan mendapati tiada sebarang insiden luar biasa berlaku.
“Saya kemudian bergerak ke blok asrama bersebelahan, iaitu Blok Sumayyah yang juga asrama perempuan untuk membuat rondaan seterusnya,” katanya yang bertugas dari jam 8 malam pada 15 Julai hingga 8 pagi, 16 Julai lalu.
Linah berkata, kira-kira jam 3 pagi, semasa berada di asrama Blok Sumayyah, dia dimaklumkan oleh seorang pelajar ada seorang pelajar perempuan pengsan di longkang berhampiran Blok Rabiatul Adawiyah.
Wanita berkenaan berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya di hadapan Koroner Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan pada hari kelima prosiding inkues berhubung kematian remaja itu.
“Saya terus menghubungi Ketua Warden Asrama, Ustaz Azhari berkenaan kejadian itu. Selepas menghubungi Ketua Warden Asrama tersebut, saya mengambil sekeping gambar Zara dalam keadaan terlentang di longkang berkenaan,” katanya.
Asrama tiada CCTV, jeriji
Linah turut mendedahkan blok asrama tempat kejadian tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan gril keselamatan di koridor bangunan.
“Setahu saya, tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) di pasang di blok asrama Rabiatul Adawiyah. Tiada juga gril (palang besi) dipasang di koridor bangunan asrama tersebut,” katanya.
Linah yang bertugas pada malam kejadian, memberitahu mahkamah bahawa keadaan itu menyukarkan pemantauan keselamatan pelajar, terutama pada waktu malam.
“Ambulans tiba kira-kira jam 4 pagi dan membawa Zara ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan,” katanya.
Inkues kes kematian Zara Qairina Mahathir dipengerusikan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak selaku Koroner.
Prosiding dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwaan II Datuk Badius Zaman Ahmad bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya yang bertindak sebagai pegawai pengendali iaitu Nahra Dollah, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan serta Dacia Jane Romanus.
Di barisan pihak berkepentingan peguam ibu Zara, Noraidah Lamat diwakili Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.
Pihak berkepentingan mewakili bapa Zara, Mahathir Hashim @ Marikin diwakili peguam Sherzali Herza Asli, Nur Rafeeqa Afdul Mutalib dan Clarice Vyonne Conrad.
Pihak berkepentingan peguam Joan Goh, Phang Fui Fong, dan Prem Elmer Ganasan mewakili salah seorang remaja tertuduh terbabit dalam kes buli Zara.
Turut menjadi pihak berkepentingan peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Sylyester Kuan bersama Fareez Salleh mewakili empat lagi remaja tertuduh kes buli Zara.
Zara Qairina Mahathir 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu.
Pada 13 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya prosiding inkues dilakukan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis.
Pada 8 Ogos lalu, AGC memaklumkan kubur Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
Sumber – Berita Harian