Friday, January 9, 2026
HomePERNIAGAANPendapatan, Jualan RM5 Juta Akan Dikenakan E-Invois Mulai Esok

Pendapatan, Jualan RM5 Juta Akan Dikenakan E-Invois Mulai Esok

PETALING JAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) akan melaksanakan e-Invois Fasa 4 serta pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) Fasa 1 bermula esok.

Menerusi satu kenyataan, LHDN berkata, pelaksanaan e-Invois Fasa 4 itu melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan sehingga RM5 juta.

Jelas LHDN, ia merupakan antara inisiatif utama yang menyokong pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), melalui pendigitalan, khususnya dalam aspek pendigitalan dan pemerkasaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Melalui inisiatif itu katanya, ia telah membantu meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh pengurusan rekod perniagaan yang teratur dan memudahkan pematuhan cukai secara lebih telus dan sistematik.

“Terkini, lebih 843 juta e-Invois telah direkodkan melibatkan 113,800 pembayar cukai di seluruh negara, membuktikan tahap penerimaan yang memberangsangkan serta komitmen pembayar cukai terhadap pelaksanaan inisiatif ini.

“Kami merakamkan penghargaan, khususnya kepada lebih 48,800 perniagaan yang terdiri daripada pembayar cukai Fasa 4, yang telah melaksanakan e-Invois secara sukarela sebagai persediaan awal sebelum pelaksanaan secara mandatori,” katamya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, LHDN berkata, pihaknya telah menyediakan Portal MyInvois yang boleh diakses dan digunakan secara percuma oleh semua perniagaan bagi penghantaran e-Invois.

Selain itu katanya, ketersediaan MyInvois e-POS, iaitu sebuah platform digital Point-of-Sale (POS) turut membantu perniagaan mengurangkan kos operasi, termasuk kos langganan perisian komersial, kos cetakan dan penyimpanan dokumen fizikal.

“Sebagai galakan, perniagaan yang mendaftar dan menggunakan MyInvois e-POS mulai 1 Januari 2026 hingga 30 Jun 2026 boleh mendapatkan pencetak resit secara percuma,” katanya.

LHDN berkata, sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan pengecualian pelaksanaan e-Invois kepada pembayar cukai yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan di bawah RM1 juta.

“Pengecualian ini bertujuan memberi ruang dan masa kepada perniagaan untuk memperkukuh kedudukan ekonomi perniagaan mereka sebelum beralih ke era pendigitalan sepenuhnya,” kataya.

Sementara itu, selaras dengan pelaksanaan STSDS, Sistem Taksiran dan Pembayaran Duti Setem (STAMPS) sedia ada akan ditamatkan sepenuhnya pada hari ini dan semua urusan penyeteman akan dimigrasikan ke Sistem e-Duti Setem bermula esok.

“Bagi memastikan kelancaran proses peralihan yang tidak menjejaskan urusan penyeteman, pengguna STAMPS sedia ada diberi pilihan untuk mengakses Sistem e-Duti Setem melalui pautan di https://stamps.hasil.gov.my/stamps/ sehingga 30 Jun 2026 bagi semua kategori surat cara.

“Pautan tersebut boleh diakses dengan melayari portal rasmi HASiL di www.hasil.gov.my > klik Menu Pautan Pantas > e-Duti Setem; atau layari portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my > klik Menu Perkhidmatan ezHasil > e-Duti Setem.

“Pembayar duti dan ejen digalakkan untuk menggunakan portal MyTax sebagai hub utama bagi mengakses Sistem e-Duti Setem dengan penggunaan satu ID bagi capaian ke semua aplikasi LHDN,” katanya.

Pada masa sama, LHDN menyarankan semua pembayar duti dan ejen yang belum mempunyai TIN atau Sijil Digital untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan kelancaran akses ke Sistem e-Duti Setem melalui portal MyTax.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

‘Menjadi-Jadi, Sampai Keluarga Ditanya, Betul Ke Dah Tukar Agama’

0
KUALA LUMPUR – Penyanyi juga pelakon Daiyan Trisha tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika fitnah mendakwanya sudah menukar agama menggunakan teknologi kecerdasan buatan...

CATEGORIES