Sunday, October 5, 2025
HomeLUAR NEGARAHamas Lancar Serangan Roket Ke Arah Selatan Israel

Hamas Lancar Serangan Roket Ke Arah Selatan Israel

BAITULMAQDIS: Pejuang Hamas melancarkan serangan roket ke arah bandar di selatan Israel dengan beberapa daripadanya didakwa rejim Zionis dipintas oleh sistem pertahanan udara.

Serangan itu sebagai tindakan balas terhadap serangan berterusan tentera Israel di Gaza.

Tentera Israel mendakwa, kira-kira 10 roket dilancarkan oleh pejuang Hamas. tetapi kebanyakannya berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara.

Saluran 12 Israel turut melaporkan, serangan itu ditujukan ke bandar selatan Ashkelon.

Pasukan khidmat kecemasan Israel pula berkata, pihaknya sedang merawat seorang individu yang mengalami kecederaan dan pasukan berkenaan sedang dalam perjalanan ke lokasi roket dijatuhkan.

Video yang disebarkan pasukan khidmat kecemasan Israel menunjukkan tingkap kereta pecah dan serpihan bertebaran di jalan raya.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan tempatan Gaza berkata, serangan tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 39 orang di seluruh Semenanjung Gaza pada Ahad.

Sejurus selepas tembakan roket itu, tentera Israel menerusi platform X mengeluarkan arahan pemindahan baharu, mengarahkan penduduk beberapa daerah di bandar Deir Al-Balah, di tengah Semenanjung Gaza untuk meninggalkan kediaman mereka.

“Ini adalah amaran terakhir sebelum serangan,” menurut kenyataan tentera Israel.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang dalam penerbangan ke Washington bagi menghadiri satu perjumpaan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump diberi taklimat mengenai serangan roket terbabit oleh Menteri Pertahanannya, Israel Katz.

Rangkaian televisyen Israel, saluran 12 yang memetik kenyataan pegawai di Hospital Bazilai di Ashkelon, memaklumkan sekurang-kurangnya 12 orang cedera ringan dan sedang dirawat susulan tembakan roket dari Gaza.

Fasa pertama gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa pada 19 Januari lalu selepas 15 bulan perang berlangsung.

Ia termasuk bagi menghentikan pertempuran, pembebasan beberapa tebusan Israel yang ditahan oleh Hamas dan pembebasan tahanan Palestin.

Bagaimanapun, Israel pada 19 Mac lalu berkata, tenteranya meneruskan operasi darat di tengah dan selatan Semenanjung Gaza.

Kedua-dua pihak menyalahkan satu sama lain susulan rundingan gencatan senjata terbabit sehingga kini masih belum berhasil.

Menurut pihak berkuasa Palestin, lebih 50,000 rakyatnya maut susulan serangan Israel di Gaza.

Israel memulakan serangan selepas Hamas menyerang komuniti di selatan Israel pada 7 Oktober 2023.

Menurut statistik Israel, insiden itu mengakibatkan 1,200 penduduk terkorban, selain 251 orang diculik sebagai tebusan.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Sumud Flotilla Hanya Tinggal Satu Kapal, Marinette Mara Ke Gaza

0
GAZA – Satu-satunya kapal yang masih tinggal dalam flotila bantuan antarabangsa, meneruskan pelayaran ke Gaza hari ini selepas tentera laut Israel memintas kapal-kapal lain...

CATEGORIES