PETALING JAYA: “Pengalaman yang betul-betul buat saya sedar betapa rapuhnya perasaan seorang ibu.” Demikian kata penyanyi, Syasya Rizal yang berdepan detik cemas apabila anak sulungnya, Muhammad Yassir Hayyan diserang ‘breath holding spell’.
Kata Syasya, situasi itu berlaku pada golongan kanak-kanak yang tidak dapat mengawal emosi mereka ketika meragam.
“Rupanya ini yang dipanggil ‘breath holding spell’ sesuatu yang boleh berlaku pada anak kecil bila emosi mereka terlalu kuat, terutamanya dalam fasa tantrum.
“Doakan saya terus kuat membesarkan kedua-dua anak saya,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Dalam masa sama, Syasya turut menceritakan punca sebenar anak sulungnya itu berdepan dengan situasi tersebut sehingga menyebabkan wajahnya bertukar menjadi kebiruan.
“Semalam masa saya tengah susukan si adik, si abang datang nak menyendeng, memanjat-manjat saya. Takut dia terlalu ganas dekat adik, saya tak bagi.
“Tiba-tiba abang meragam. Menangis tanpa suara. Muka dia perlahan-lahan bertukar kebiruan,” kongsinya.
Mengakui cemas ketika insiden itu berlaku, bekas anggota kumpulan Dolla itu bagaimanapun syukur kerana dapat tangani situasi tersebut dengan baik.
“Sebagai ibu, saya memang terus cemas. Pantang ke apa semua memang dah tidak fikir. Saya terus angkat dia, gosok belakang badan, panggil nama dia.
“Ketika itu dia sudah nampak macam tidak bermaya, hampir pengsan. Alhamdulillah, tidak lama lepas itu dia sedar balik dan menangis dengan suara semula,” jelasnya.
Untuk info, Syasya telah mendirikan rumah tangga dengan Nasrullah Mohd Sapie pada 20 April 2024 dalam sebuah majlis tertutup.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Yassir Hayyan dan seorang anak perempuan yang namanya masih belum didedahkan.
Sumber – Utusan





