Wednesday, August 5, 2026
HomeHIBURAN‘Kolaborasi Batal, Tahu-Tahu Saya Kena Tendang Daripada Grup WhatsApp’

‘Kolaborasi Batal, Tahu-Tahu Saya Kena Tendang Daripada Grup WhatsApp’

BANGI – Pernah dipelawa menyertai Iklim sekitar dua tahun lalu, penyanyi Syafiq Farhain mengakui terkilan apabila kerjasama dengan kumpulan terbabit tidak kesampaian selepas projek tersebut dibatalkan secara tiba-tiba.

Anak kepada vokalis, Allahyarham Saleem itu berkata, rakan seperjuangan bapanya yang mengajukan tawaran malah perancangan juga sudah memasuki perbincangan serius termasuk penganjuran konsert.

“Mereka pelawa jadi vokalis Iklim selepas penyanyi Azmani meninggalkan kumpulan itu. Sudah ada kertas kerja pun.

“Waktu itu kami mesyuarat, dah rakam demo dan ada perancangan macam mana projek itu nak bergerak termasuk konsert.

“Tetapi sayangnya, di pertengahan jalan semuanya terkubur macam itu sahaja,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran single baharu, Cerita Luka, di sini, semalam.

Lebih mengejutkan, Syafiq juga anggota bomba mendakwa dirinya dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp yang diwujudkan bagi menguruskan projek tersebut tanpa sebarang penjelasan terperinci.

“Saya sendiri tak tahu apa puncanya. Bukan sebab hak cipta, bukan sebab isu keluarga. Tahu-tahu saya kena tendang daripada kumpulan WhatsApp.

“Bila saya tanya kenapa, jawapan yang saya dapat cuma kami tidak sehaluan. Itu sahaja,” ujarnya.

Begitupun, dia percaya keputusan tersebut mungkin berpunca daripada perbezaan pendekatan antara anggota senior dengan dirinya yang masih aktif membina kerjaya solo.

“Mungkin mereka mahu saya sertai Iklim sepenuhnya, sedangkan dari awal saya beritahu saya boleh buat projek bersama, bukan menjadi ahli tetap.

“Saya dah lama bawa nama sendiri dan saya juga ada komitmen sendiri. Saya tak boleh ikut rentak mereka sepenuhnya, mereka pun ada cara mereka. Jadi kena tolak ansur,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Syafiq mengakui insiden tersebut membuatkannya lebih memahami luahan arwah bapanya yang pernah berkongsi cabaran ketika bersama kumpulan legenda itu.

“Bila perkara ini berlaku, saya terus teringat arwah. Dulu arwah pernah cakap, ‘Aku dengan Iklim dah lama, aku tahulah macam mana.’

“Bila saya melalui situasi ini sendiri, baru saya faham apa yang arwah maksudkan. Tetapi saya bukan nak membuka aib sesiapa, cuma berkongsi situasi yang berlaku kepada saya,” katanya.

Berlapang dada, Syafiq yang terjun ke arena seni hampir sedekad lalu tidak berdendam sebaliknya terbuka bekerjasama dengan kumpulan yang pernah dianggotai arwah bapanya andai semua pihak dapat mencapai kata sepakat.

“Saya tiada masalah dengan mereka. Kalau mereka datang semula dan kita duduk berbincang secara baik, saya okey sahaja.

“Tetapi pastikan perancangan itu betul-betul menjadi. Jangan jual nama saya untuk projek yang akhirnya tak berjalan. Bukan sekali perkara ini berlaku, jadi sebab itu saya tidak mahu terlalu berharap,” katanya.

Dalam masa sama, Syafiq turut mengulas kemelut penggunaan nama Iklim yang kini digunakan dua kumpulan berbeza.

Katanya, jenama Iklim perlu dipelihara kerana mempunyai nilai yang sangat besar dalam industri muzik, termasuk di Indonesia.

“Pada pendapat saya, kalau Iklim sudah tidak boleh diteruskan dalam bentuk asal, biarlah ia berehat. Nama Iklim terlalu besar.

“Saya sendiri sampai hari ini belum berani buat konsert tribute sebab saya rasa tanggungjawab itu sangat besar.

“Orang lain mungkin nampak biasa, tetapi saya anak arwah Saleem. Saya tak mahu buat sekadar boleh. Saya mahu kalau dibuat, biarlah benar-benar menjaga legasi dan martabat Iklim,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Jika Benar, Saya Sedih – Aliff Aziz Ulas Dakwaan Digam Stesen...

0
KUALA LUMPUR: Pelakon, Aliff Aziz, tidak mengetahui mengenai spekulasi yang mendakwa namanya digam oleh stesen televisyen susulan kontroversi rumah tangganya beberapa tahun lalu. Menurut Aliff...

CATEGORIES