SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Syariah, di sini hari ini memerintahkan dua anak pelakon Hafidz Roshdi diberikan hadanah (hak penjagaan) penuh kepada bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.
Dua kanak-kanak itu ialah anak perempuan Humairah dan anak lelaki Umar, yang masing-masing berusia lapan dan lima tahun.
Hakim Syarie Zalinah Said memutuskan demikian selepas meneliti permohonan yang dikemukakan Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 31, selaku plaintif.
“Setelah mendengar hujahan daripada pihak plaintif, mahkamah memerintahkan Humairah dan Umar diberikan kepada defendan selaku ibu kandung (Nurul Shuhada).
“Mahkamah memerintahkan plaintif diberi hak lawatan bersama dan bermalam dengan anak-anak tersebut pada cuti persekolahan mereka sepenuhnya,” kata Hakim Syarie itu.
Pada masa sama, mahkamah turut memerintahkan Hafidz diberikan hak akses untuk menghubungi anak-anaknya pada bila-bila masa yang sesuai tanpa halangan daripada Nurul Shuhada dan ahli keluarganya.
Selain itu, mahkamah mengarahkan pihak-pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen serta agensi berkaitan memberikan kerjasama agar perintah itu dilaksanakan dan dipatuhi.
Sementara itu, Hafidz ketika ditemui selepas prosiding meluahkan rasa kekecewaan namun tetap menghormati keputusan mahkamah, hari ini.
“Saya harapkan benda lain (hadanah penuh) dapat hak penjagaan kekal jadi saya sangat kecewa tapi saya menghormati keputusan mahkamah. Saya harap dapat jumpa anak saya dalam masa terdekat seperti ketetapan mahkamah…saya sangat-sangat rindu pada mereka, ” katanya.
Dalam pada itu, peguam syarie Puteri Ummi Kartini Abd.Latiff yang mewakili Hafidz berkata pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah dalam masa terdekat terhadap keputusan mahkamah itu.
Sebelum ini, Hafidz memfailkan hadanah (hak penjagaan) iaitu penuh terhadap dua anaknya Humairah, 6, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada April 2023.
Untuk rekod, Hafidz atau dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 sebelum disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, 27 Julai 2023.
Sumber – KOSMO! ONLINE