KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak akan menyembunyikan kes buli di bawah ‘permaidani’ semata-mata untuk menjaga imej atau reputasi.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau komited untuk membanteras budaya buli di semua institusi pendidikan di bawah agensi itu dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk perlakuan tersebut, sama ada fizikal mahupun mental.
“Kita mahu putuskan rantaian budaya buli. Tiada lagi alasan seperti ‘dulu kami pun dibuli, tak apa pun’. Itu mentaliti lapuk.
“Jika benar ada laporan dan terbukti berlaku, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi, termasuk terhadap pelajar cemerlang yang telah disingkirkan baru-baru ini kerana kes buli,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Town Hall Antibuli Peringkat Mara anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang berlangsung di Hotel Premiera di sini hari ini.
Tambah beliau, selain pendidikan dan kaunseling, penguatkuasaan undang-undang juga penting bagi memastikan ekosistem pendidikan yang selamat dan sejahtera.
“Tindakan tegas akan diambil segera dan tegas, bukan sahaja kepada pembuli, malah kepada semua pengarah, pengetua, dan warden institusi Mara
“Kita tidak boleh benarkan mana-mana kes dibiar berlarutan atau disapu bawah karpet. Jangan hanya tunggu selepas adanya berita-berita kematian dan sebagainya,” tegasnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE.