LOS ANGELES: Ikon pop antarabangsa, Madonna, meruntun hati jutaan peminat apabila mengakui naluri keibuannya tersentuh melihat penderitaan kanak-kanak di Semenanjung Gaza yang terpaksa berjuang untuk hidup, malah ada yang meninggal dunia akibat kebuluran.
Menerusi kenyataan di Instagram (IG), penyanyi Material Girl itu merayu agar pihak berkuasa atau mana-mana tokoh berpengaruh segera bertindak menyelamatkan kanak-kanak tidak berdosa itu sebelum terlambat.
“Tolonglah pergi ke Gaza dan bawakan cahaya anda kepada anak-anak di sana sebelum terlambat.
“Sebagai seorang ibu, saya tidak sanggup melihat penderitaan mereka. Anak-anak di dunia ini milik semua orang,” tulisnya.
Madonna menegaskan masa semakin suntuk dan menyifatkan politik tidak mampu membawa perubahan sebenar.
“Kita tidak punya masa lagi. Politik tidak mampu membawa perubahan, hanya kesedaran yang boleh. Sebab itu saya menghulurkan rayuan ini,” coretnya.
Bersempena ulang tahun kelahiran anak lelakinya, Rocco, Madonna berkata hadiah terbaik yang mampu diberikannya adalah dengan mengajak seluruh dunia melakukan apa sahaja demi menyelamatkan nyawa anak-anak yang terperangkap dalam kancah peperangan.
“Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak atau memilih sebelah. Semua orang sedang menderita.
“Saya hanya mahu berusaha agar anak-anak ini tidak mati kebuluran,” ujarnya sambil menggesa orang ramai menghulurkan sumbangan kepada pertubuhan kemanusiaan seperti World Central Kitchen.
Sementara itu hasil semakan mendapati perkongsian yang dibuat beliau itu mendapat hampir 160,000 tanda suka, lebih 11,000 komen dan dikongsi lebih 10,000 pengguna IG.
Sumber: Berita Harian