KUALA LANGAT – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga maut ditemui rentung dalam kebakaran melibatkan deretan tiga buah rumah di Jalan Nuri Kampung Seri Cheeding, Banting di sini, awal pagi tadi.
Mangsa dijumpai di bilik utama salah sebuah rumah tersebut kira-kira pukul 4.15 pagi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, seramai 17 anggota termasuk pegawai terlibat dalam operasi pemadaman selepas menerima panggilan kecemasan pukul 2.44 pagi.
Menurutnya, mereka daripada tiga buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Teluk Panglima Garang, Banting dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Komander Operasi melaporkan kebakaran melibatkan tiga buah rumah bangunan dengan setiap unit terbakar sebanyak 90 peratus.
“Maklumat awal diterima menyatakan terdapat seorang kanak-kanak berumur tiga tahun terperangkap di dalam rumah. Kerja-kerja pemadaman dan menyelamat mangsa sedang dijalankan,” katanya hari ini.
Jelas beliau, api berjaya dikawal pada pukul 3.30 pagi dan hasil pemeriksaan kemudiannya menemukan mangsa di bilik utama dalam keadaan rentung pada pukul 4.15 petang.
Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.





