KUALA LUMPUR – Ayam mentah perlu dikendalikan dengan berhati-hati kerana ia boleh membawa bakteria yang menyebabkan keracunan makanan, terutamanya jika tidak disimpan atau dimasak dengan betul.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pencemaran silang boleh berlaku apabila bakteria daripada ayam mentah berpindah kepada makanan yang sudah dimasak. Keadaan ini boleh meningkatkan risiko keracunan makanan.
Bagi mengelakkan perkara tersebut, terdapat empat langkah penting yang boleh diamalkan ketika mengendalikan ayam mentah di rumah.
1. Pilih Ayam yang Masih Segar
Sebelum membeli ayam, periksa keadaan fizikalnya terlebih dahulu. Pilih ayam yang mempunyai isi pejal dan anjal, tidak berlendir, tidak berubah warna serta tidak mengeluarkan bau busuk.
Jika membeli ayam beku, pastikan keadaannya masih keras dan beku ketika diterima. Elakkan membeli ayam yang menunjukkan tanda-tanda kerosakan.
2. Gunakan Peralatan yang Bersih dan Berasingan
Pastikan pisau, papan pemotong dan bekas yang digunakan untuk menyediakan ayam berada dalam keadaan bersih.
Gunakan peralatan berasingan untuk mengendalikan ayam mentah dan makanan yang sudah dimasak bagi mengelakkan pemindahan bakteria.
3. Simpan Ayam dengan Cara yang Betul
Selepas dibersihkan, ayam sebaik-baiknya dimasak terus kerana ia mudah rosak.
Jika belum mahu memasaknya, simpan ayam di dalam ruang sejuk beku menggunakan bekas atau bungkusan yang sesuai. Pastikan ayam mentah disimpan berasingan daripada makanan yang sudah dimasak supaya tidak berlaku pencemaran silang.
4. Nyahbeku dan Masak Ayam dengan Sempurna
Jika menggunakan ayam beku, pastikan ia dinyahbeku sepenuhnya sebelum dimasak. KKM menyarankan tiga kaedah penyahbekuan, iaitu menggunakan ketuhar gelombang mikro pada tetapan nyahbeku, meletakkannya di ruang pendingin peti sejuk atau merendamnya dalam bekas bersih di bawah air paip yang mengalir secara berterusan.
Ketika memasak, pastikan ayam dimasak dengan sempurna. Bagi ayam yang direbus, air rebusannya perlu kelihatan jernih dan bukan berwarna merah jambu. Jika masih terdapat kesan darah pada isi atau tulang, masak semula sehingga sempurna.
Mengamalkan langkah-langkah ini dapat membantu mengurangkan risiko pencemaran silang dan keracunan makanan. Pengendalian ayam yang betul bukan sahaja penting ketika memasak, malah bermula sejak proses pemilihan dan penyimpanannya.
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)





