KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa orang ramai mengemas kini sistem operasi telefon mudah alih masing-masing bagi memastikan peranti mereka bersedia menerima amaran kecemasan menerusi Sistem Amaran Awal (EWS) yang sedang dilaksanakan secara berfasa.
Menurut kenyataan MCMC, EWS menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan amaran kecemasan disampaikan secara serentak kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi yang dikenal pasti.
Sistem tersebut tidak memerlukan pengguna memuat turun aplikasi tambahan, membuat pendaftaran atau melanggan perkhidmatan khusus untuk menerima amaran berkenaan.
Keperluan Minimum Telefon Untuk Menerima Amaran
Sebagai panduan awal, MCMC memaklumkan keperluan minimum peranti untuk menyokong penerimaan amaran EWS, tertakluk kepada pengesahan teknikal akhir, adalah seperti berikut:
- iPhone: iPhone 11 dan model lebih baharu dengan iOS 27.2 atau versi terkini.
- Android: Telefon yang menggunakan Android 12 dan ke atas.
- Huawei: Peranti yang menggunakan EMUI 16 atau versi terkini.
Pengguna turut disarankan memasang kemas kini perisian terkini yang tersedia, memulakan semula telefon selepas proses kemas kini dan memastikan tetapan Amaran Kecemasan diaktifkan sekiranya berkenaan.
MCMC Adakan Taklimat Khas Bersama Media
Dalam perkembangan berkaitan, MCMC mengadakan sesi taklimat khas bersama ketua pengarang media bagi memperkenalkan EWS serta menjelaskan mekanisme penyampaian amaran kecemasan.
Sesi tersebut turut disertai demonstrasi melalui ujian teknikal dalaman yang dijalankan di bangunan MCMC, Cyberjaya.
Menurut MCMC, ujian berkenaan bertujuan menilai dan menambah baik sistem sebagai persediaan ke arah pelaksanaan yang lebih meluas. Ujian pada skala lebih besar pula akan dilaksanakan secara berfasa.
Kerjasama Pelbagai Agensi
Pelaksanaan EWS membabitkan kerjasama MCMC, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Kerjasama tersebut bertujuan memperkukuh keupayaan negara dalam menyampaikan amaran kecemasan dengan lebih pantas dan bersasar kepada masyarakat.
MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap maklumat rasmi serta mematuhi arahan pihak berkuasa apabila menerima amaran kecemasan.
EWS juga berfungsi sebagai pelengkap kepada saluran amaran sedia ada bagi meningkatkan keselamatan dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi bencana.
Sumber – Berita Harian





