Saturday, November 21, 2026
HomeLUAR NEGARABadak Air Popular Dunia, Fiona Maut Tertelan Topi Pengunjung Zoo

Badak Air Popular Dunia, Fiona Maut Tertelan Topi Pengunjung Zoo

OHIO: Badak air terkenal dunia, Fiona disahkan mati selepas pasukan doktor veterinar gagal mengeluarkan topi bulu yang tidak sengaja ditelannya, menurut pengumuman Zoo Cincinnati pada Khamis.

Badak air Sungai Nil berusia sembilan tahun yang sering mencuri perhatian di media sosial itu dilaporkan tertelan topi kait berkenaan minggu lalu sebelum mula kehilangan selera makan.

Menerusi satu kenyataan di media sosial, pihak zoo memaklumkan berita sedih itu berlaku selepas pelbagai usaha dilakukan oleh pasukan veterinar dan penjaga haiwan bagi menyelamatkannya dalam situasi kecemasan perubatan berkenaan.

“Pasukan veterinar mencuba sedaya upaya untuk membantu selepas Fiona tertelan topi yang terjatuh ke dalam habitatnya secara tidak sengaja minggu lalu.

“Walaupun pelbagai percubaan dilakukan untuk mengeluarkan objek tersebut daripada sistem penghadamannya, keadaan itu akhirnya gagal diatasi. Pasukan perubatan turut memberikan rawatan sokongan yang diperlukan hari ini, namun tidak berjaya dan Fiona tidak dapat diselamatkan,” kata kenyataan itu.

Insiden menimpa Fiona sebelum ini mencetuskan gelombang sokongan daripada peminat seluruh dunia, malah ada pengguna Instagram berseloroh tidak pernah berdoa sebegitu bersungguh-sungguh hanya untuk melihat seekor badak air membuang air besar.

Sementara itu, segelintir warga maya menyalahkan ibu bapa kepada seorang kanak-kanak yang didakwa pihak zoo telah melambung topi berkenaan ke udara sebelum ia terkena kipas siling dan melayang masuk ke dalam kandang haiwan itu.

Dalam usaha menyelamatkan Fiona, pasukan penjaganya terpaksa menggunakan kaedah luar biasa termasuk meminjam plat getaran daripada sebuah ladang kuda tempatan bagi merangsang pergerakan saluran penghadaman serta membantu menolak keluar objek berkenaan.

Pihak zoo turut memberikannya bau kopi yang mencetuskan reaksi positif apabila haiwan itu mengeluarkan bunyi dengusan serta menggerakkan telinganya.

Pengarah Kesihatan Haiwan Zoo Cincinnati, Mike Wenninger berkata, Fiona diletakkan di bawah pemantauan dan rawatan rapi selama 24 jam merangkumi prosedur enema serta pemberian ubat tahan sakit dan anti loya.

Memandangkan saiz badannya yang sudah matang sepenuhnya, pembedahan dianggap bukan pilihan yang sesuai manakala percubaan menarik keluar topi itu menggunakan alat endoskop sepanjang sembilan kaki melalui dubur ketika ia dibius turut menemui kegagalan.

Dilahirkan pada Januari 2017, Fiona mencatat sejarah sebagai badak air Sungai Nil pertama dilahirkan di Zoo dan Taman Botani Cincinnati dalam tempoh 75 tahun.

Meskipun dilahirkan pramatang serta pada awalnya tidak mampu berdiri atau menyusu daripada ibunya, Bibi, Fiona berjaya membesar dengan sihat dan menjadi fenomena global.

Gelagat mencuit hati Fiona bersama adik lelakinya, Fritz yang lahir pada 2022 termasuk aksi mengunyah buah tembikai, berenang dikelilingi ikan tilapia dan mencapai dedaun sering menambat hati jutaan penonton di seluruh dunia.

Zoo Cincinnati yang mula dibuka pada 1875 merupakan zoo kedua tertua di Amerika Syarikat (AS).

Sumber – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

MCMC Gesa Pengguna Kemas Kini Telefon Untuk Terima Amaran Kecemasan

0
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa orang ramai mengemas kini sistem operasi telefon mudah alih masing-masing bagi memastikan peranti mereka...

CATEGORIES