Saturday, November 21, 2026
HomeHIBURANJangan Gurau Soal Zuriat, Kita Tak Tahu Perasaan Mereka - Sweet Qismina

Jangan Gurau Soal Zuriat, Kita Tak Tahu Perasaan Mereka – Sweet Qismina

REMBAU – Pasangan suami isteri yang masih berusaha mendapatkan cahaya mata tidak seharusnya dibebani dengan pertanyaan atau gurauan mengenai zuriat kerana perkara itu boleh mengguris perasaan serta menjejaskan emosi mereka.

Pelakon, Sweet Qismina, 29, berkata masyarakat perlu lebih peka dan menghormati perjalanan setiap pasangan yang menjalani proses Trying To Conceive (TTC), selain mengelak daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh menjatuhkan semangat mereka.

Sweet yang juga isteri kepada aktor Adam Lee berkata, soal zuriat bukan perkara yang wajar dijadikan bahan gurauan kerana setiap pasangan mempunyai usaha dan perjuangan tersendiri untuk menimang cahaya mata.

“Kadang-kadang ada yang terlepas cakap dan menganggap perkara itu (zuriat) remeh, tetapi orang yang mengalaminya tidak merasakan begitu. Ada yang menganggap perkara itu tidak sensitif, sedangkan bagi mereka yang melaluinya, ia cukup sensitif.

“Bercakap mengenai TTC ini sangat sensitif. Saya sendiri terbuka apabila orang bertanya, tetapi mungkin ada sesetengah orang yang benar-benar mahukan zuriat dan sedang berusaha bersungguh-sungguh.

“Mungkin disebabkan faktor usia atau perkara lain yang kita sendiri tidak tahu. Jadi, kita perlu menghormati perasaan mereka kerana setiap orang mempunyai perasaan yang perlu dijaga,” katanya.

Sweet ditemui pada program Pesona Sinema sempena Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-35 anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Rembau, di sini, baru-baru ini.

Berkongsi pengamatan peribadi terhadap pasangan yang masih menjalani proses TTC, Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi, mengakui tersentuh melihat kesungguhan mereka dalam usaha mendapatkan zuriat.

Pelakon filem Babah itu turut meluahkan rasa terharu melihat perjalanan pelawak, Achey dan isterinya, Nor Hasanah Yahaya atau Anne yang akhirnya berpeluang menimang cahaya mata selepas 15 tahun menanti.

“Kita tengok ada yang sudah 10 tahun menanti dan baru-baru ini kita menerima berita gembira mengenai Achey yang akhirnya mendapat zuriat selepas 15 tahun.

“Apabila melihat video dia, saya rasa sebak. Anne pula sampai pergi ke Makkah dan berdoa di hadapan Kaabah. Hanya kita dengan Allah yang tahu betapa sakitnya apabila setiap kali mencuba, tetapi belum berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, Sweet turut berpandangan pasangan yang menjalani TTC perlu lebih berhati-hati sebelum berkongsi perjalanan mereka di media sosial.

Katanya, meskipun perkongsian itu dibuat atas dasar keterbukaan, pasangan terbabit perlu mempertimbangkan soal privasi dan kemungkinan berdepan perkara yang tidak diingini.

“Kadang-kadang kita tidak sedar. Contohnya, saya suka berkongsi momen gembira bersama Adam atau perjalanan mencuba TTC.

Apabila tidak berjaya, kita tidak tahu mungkin penyakit ain itu ada.

“Jadi, lebih baik kita simpan dan jaga privasi kehidupan sendiri. Kita tidak tahu siapa yang mendoakan perkara baik atau negatif terhadap kita.

“Kalau ditanya sama ada saya setuju pasangan yang sedang TTC tidak perlu bercerita kepada orang lain, saya sangat setuju. Walaupun keluarga sendiri, kita tidak tahu apa yang ada dalam hati mereka,” katanya.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

MCMC Gesa Pengguna Kemas Kini Telefon Untuk Terima Amaran Kecemasan

0
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa orang ramai mengemas kini sistem operasi telefon mudah alih masing-masing bagi memastikan peranti mereka...

CATEGORIES