KUALA LUMPUR – Selepas hampir enam bulan hubungan mereka menjadi perhatian, penyanyi dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob akhirnya membuktikan keseriusan cintanya terhadap Datuk Seri Vida (DSV) menerusi lamaran romantis yang diserikan dengan pertunjukan 1,200 dron di ruang taman Kuala Lumpur City Centre (KLCC), malam tadi.
Kejutan RM500,000 itu menyaksikan Fazley melamar Vida secara terbuka menerusi konsert yang disiarkan secara langsung di TikTok.
Lebih istimewa, ribuan dron yang menghiasi ruang udara KLCC membentuk mesej ‘Nak duduk Ipoh ke KL’, sekali gus mencuri perhatian penonton yang mengikuti detik bersejarah pasangan berkenaan.
Fazley turut menghadiahkan Vida sebentuk cincin eksklusif berbentuk tiara bernilai RM7,000 yang diinspirasikan daripada kegemaran usahawan kosmetik itu menggayakan mahkota.
Detik penuh bermakna itu turut disaksikan anak-anak kedua-dua pihak, menjadikan lamaran berkenaan lebih istimewa apabila mereka turut memainkan peranan dalam penyerahan cincin kepada Vida.
Sebelum kejutan itu dilakukan, Fazley terlebih dahulu menyampaikan dua lagu, termasuk Di Alam Fana Cinta yang juga antara lagu kegemaran Vida.
Lamaran berkenaan sekali gus menjawab pelbagai spekulasi mengenai hubungan mereka, termasuk dakwaan kemesraan yang dipaparkan selama ini sekadar gimik atau strategi pemasaran di media sosial.
Menurut Fazley, perancangan untuk melamar Vida dibuat kira-kira dua hingga tiga minggu lebih awal, manakala persiapan intensif mengambil masa hampir 14 hari.
Pemilihan TikTok sebagai platform lamaran pula dibuat berdasarkan pengaruh besar Vida dalam kalangan pengguna media sosial, khususnya di Malaysia dan Singapura.
“Pada saya, DSV ialah ‘Queen of TikTok’. Jadi, sudah sepatutnya kita meraikan beliau dalam dunia yang selama ini banyak meraikan dan menyokongnya.
“Ramai pengikut mengenalinya melalui TikTok dan sentiasa mengikuti siaran langsungnya. Sebab itu saya mahu melamar beliau menerusi platform yang dekat dengan hati dan pengikutnya,” katanya.
Bagaimanapun, Fazley menjelaskan cincin yang dihadiahkan itu bukan cincin pertunangan rasmi, sebaliknya simbolik kesungguhannya untuk membawa hubungan mereka ke fasa lebih serius.
“Cincin ini adalah simbolik lamaran saya kepada DSV. Ia bukan cincin pertunangan, tetapi tanda bahawa hubungan kami serius.
“Selama ini ramai bertanya sama ada hubungan kami benar-benar serius, sekadar kandungan media sosial atau sebenarnya sudah berkahwin. Jadi, saya mahu memberikan jawapan yang jelas kepada masyarakat,” katanya.
Menurut Fazley, lamaran secara terbuka itu juga bertujuan mengumumkan status hubungan mereka kepada masyarakat memandangkan kedua-duanya figura awam yang sering berkongsi perkembangan kehidupan di media sosial.
Sebelum melaksanakan kejutan berkenaan, Fazley terlebih dahulu mendapatkan restu ibu Vida sebagai tanda menghormati keluarga wanita itu.
Pembabitan anak-anak pula memberikan makna tersendiri apabila mereka turut membantu menyempurnakan penyerahan cincin kepada Vida.
Fazley berkata, hubungan anak-anak mereka kini semakin akrab, malah sudah mempunyai kumpulan WhatsApp sendiri dan sering meluangkan masa bersama.
“Anak-anaklah yang menyatukan kami. Mereka sangat positif dan saling menyokong antara satu sama lain.
“Mereka sudah biasa berjumpa, keluar bersama dan mempunyai kumpulan WhatsApp sendiri. Alhamdulillah, hubungan mereka sudah seperti adik-beradik,” katanya.
Hubungan Fazley dan Vida mula mendapat perhatian selepas kedua-duanya terbabit dalam program realiti Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) pada Mei lalu.
Untuk rekod, Fazley pernah mendirikan rumah tangga dengan Azrene Soraya Abdul Aziz sebelum mereka mengambil keputusan berpisah pada Oktober 2024 selepas 18 tahun bersama.
Vida pula pernah mendirikan rumah tangga sebanyak tiga kali. Perkahwinan ketiganya dengan Fairuz Ahmad Zainuddin berakhir pada 7 April 2017 selepas tiga tahun bersama.
Sumber – Berita Harian





