SEPANG, 3 Nov – Peluang berniaga di acara sukan bertaraf antarabangsa tanpa perlu menanggung kos sewa tapak membuahkan hasil apabila 30 penjaja tempatan berjaya merekodkan jualan sebanyak RM207,000 sepanjang tiga hari penganjuran Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) 2026.
Kejayaan itu dicapai menerusi inisiatif Litar Rasa MADANI yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di kawasan K2 Hillstand, Litar Antarabangsa Sepang, dari 30 Oktober hingga 1 November lalu.

Program berkenaan turut menerima sambutan menggalakkan apabila menarik lebih 10,000 pengunjung sepanjang berlangsungnya acara berkenaan.
Menariknya, kesemua penjaja terbabit tidak dikenakan sebarang bayaran sewa tapak, sedangkan kadar sewa tapak niaga komersial di acara berkenaan boleh mencecah sehingga RM3,000.
Malah, KUSKOP turut menanggung sepenuhnya kos sewaan tapak selain menyediakan kemudahan khemah, baju, apron, meja dan kerusi bagi mengurangkan beban kos penyertaan peniaga kecil.
Penjaja terbabit hanya perlu membayar RM180 bagi mendapatkan lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan, sekali gus membolehkan mereka menggunakan modal sedia ada untuk menyediakan stok jualan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, berkata inisiatif itu diteruskan selepas kejayaan pelaksanaan Litar Rasa MADANI sempena perlumbaan Formula Satu (F1) pada awal Oktober lalu.
Beliau berkata, acara sukan berskala besar seperti MotoGP menawarkan peluang perniagaan yang luas berikutan kehadiran pengunjung yang ramai, namun kos sewa tapak dan logistik yang tinggi sering menjadi penghalang kepada penyertaan penjaja kecil.
Menurutnya, menerusi inisiatif berkenaan, penjaja dapat merebut peluang menjana pendapatan tanpa perlu mengeluarkan modal besar untuk menyewa tapak dan menyediakan kemudahan perniagaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan MADANI turut menawarkan Tiket MADANI pada harga RM49.90 kepada pemegang MyKad untuk menyaksikan perlumbaan MotoGP dari kawasan K2 Hillstand.
MotoGP Malaysia 2026 yang berlangsung selama tiga hari itu merekodkan kehadiran lebih 196,000 penonton, sekali gus membuka ruang ekonomi dan peluang perniagaan kepada usahawan tempatan.





