KUALA LUMPUR – Penurunan gred sekolah menyebabkan ada dalam kalangan Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP) terpaksa berputih mata apabila Elaun Tugas Pentadbiran Sekolah (ETPS) yang dinikmati mereka berisiko ditarik balik.
Keadaan itu berlaku kerana elaun ETPS sebanyak RM120 sebulan hanya dibayar kepada GKMP di sekolah Gred A, manakala Gred B dan C tidak menikmatinya walaupun tugas dan memikul tanggungjawab sama.
Gred Sekolah ditentukan berdasar tiga kriteria utama iaitu jumlah pelajar dengan wajaran 80 peratus; penghuni asrama (wajaran 10 peratus) dan peringkat pendidikan (10 peratus).
Lebih malang, GKMP yang menikmati elaun itu akan dikehendaki membayar balik ETPS jika sekolah mereka jatuh daripada Gred A kepada Gred B atau C.
Dalam surat bertarikh 8 Oktober lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, penggredan baharu sekolah 2026 berkuat kuasa 11 Januari tahun ini, sekali gus memberi kesan kepada guru yang selama ini menerima ETPS.
Berdasarkan surat itu yang dilihat BH, pembayaran ETPS kepada GKMP di sekolah menengah Gred A yang diturunkan ke Gred B diarah dihentikan berkuat kuasa pada tarikh berkenaan (11 Januari 2026).
Susulan itu, bayaran ETPS yang dibuat selepas tarikh kuat kuasa berkenaan perlu dikutip balik mengikut tatacara kewangan yang berkuat kuasa.
Namun dalam surat sama, GKMP sekolah rendah tidak terjejas dengan penggredan itu walaupun gred sekolah masing-masing berubah, sebaliknya ETPS hanya terhenti apabila tidak lagi mengisi jawatan berkenaan.
Lantaran itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyemak semula kelayakan ETPS bagi GKMP di sekolah menengah Gred A dan B.
Presiden NUTP, Aminuddin Awang, menyifatkan ketetapan semasa mengehadkan ETPS sebanyak RM120 sebulan kepada GKMP kepada sekolah menengah Gred A tidak wajar kerana guru kedua-dua kategori sekolah itu melaksanakan tugas dan memikul tanggungjawab sama.
Beliau berkata, perbezaan gred sekolah tidak sepatutnya menyebabkan sebahagian guru dinafikan elaun itu, sedangkan mereka turut memainkan peranan penting dalam memastikan kecemerlangan akademik sekolah.
“Guru kanan sekolah Gred A dan B mempunyai tanggungjawab, bebanan tugas serta tekanan kerja sama. Malah, mereka juga perlu menghadiri kursus dan memenuhi arahan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Kita melihat keadaan ini sebagai sesuatu yang tidak wajar apabila hanya guru kanan sekolah Gred A menerima elaun, sedangkan rakan mereka di sekolah Gred B menjalankan tugas sama,” katanya kepada BH.
Aminuddin berkata, GKMP antara lapisan pengurusan sekolah yang bertanggungjawab menyelia dan menyelaras bidang mata pelajaran masing-masing termasuk Bahasa, Sains dan Matematik serta Sains Sosial.
Katanya, peranan itu penting kerana GKMP bukan sekadar mengurus guru di bawah bidang masing-masing, malah turut bertanggungjawab terhadap pencapaian dan kecemerlangan akademik sekolah.
“Apabila tanggungjawab bertambah, bebanan dan tekanan kerja juga sama, tetapi mereka tidak mendapat imbuhan seperti rakan di sekolah Gred A, keadaan ini boleh menimbulkan ketidakpuasan hati.
“Kita juga bimbang akan timbul kesukaran mendapatkan guru yang berminat memegang jawatan GKMP di sekolah Gred B kerana mereka merasakan tugas itu tidak setimpal dengan imbuhan,” katanya.
Perubahan gred
Aminuddin menjelaskan, penentuan gred sekolah mengambil kira beberapa kriteria, termasuk bilangan murid, kewujudan Tingkatan Enam dan asrama, dengan jumlah murid menjadi antara pertimbangan utama.
Bagaimanapun, katanya, perubahan gred itu memberi kesan kepada kelayakan GKMP menerima ETPS kerana peraturan sedia ada menetapkan elaun berkenaan hanya diberikan kepada mereka yang berkhidmat di sekolah Gred A.
“NUTP sudah lama membangkitkan isu ini, namun ia belum mendapat penyelesaian meskipun KPM sependapat dengan kesatuan, iaitu elaun berkenaan wajar diberikan kepada semua GKMP tanpa mengira gred sekolah.
“Bagaimanapun, pembayaran ETPS bukan di bawah bidang kuasa KPM, sebaliknya tertakluk kepada ketetapan JPA,” katanya.
Aminuddin berkata, pihaknya dimaklumkan kajian berkaitan elaun penjawat awam masih dijalankan secara menyeluruh, namun berharap isu membabitkan GKMP diberikan keutamaan dan diputuskan segera.
“Kita berharap JPA mengambil tindakan segera kerana perkara ini boleh menimbulkan masalah dalam sistem pengurusan sekolah menengah jika tidak ditangani.
“Kita melihat isu ini perlu diberikan perhatian khusus dan tidak seharusnya terus menunggu kajian elaun secara menyeluruh,” katanya.
Setakat petang semalam, KPM belum memberi maklum balas berhubung isu ETPS yang dikemuka BH, sebaliknya meminta masa untuk membuat semakan.
Sumber – Berita Harian





