KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) kini berdepan kekosongan 1,176 jawatan pemandu kenderaan, termasuk pemandu ambulans, di seluruh negara.
Keadaan itu yang meningkatkan beban tugas kepada pemandu sedia ada dalam KKM itu dijangka berterusan untuk tempoh enam bulan lagi iaitu sehingga April tahun depan.
Kekurangan pemandu itu dialami KKM berpunca kelewatan pengisian perjawatan Pembantu Khidmat Am (Pemanduan) ekoran penangguhan sementara urusan pengambilan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada 2024.
KKM menjelaskan, penangguhan terbabit dibuat bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baharu.
“Melalui sistem baharu ini, skim perkhidmatan pemandu kenderaan di bawah Sistem Saraan Malaysia, digabungkan ke dalam skim perkhidmatan yang baharu iaitu Pembantu Khidmat Am (Pemanduan), bawah klasifikasi Perkhidmatan Kemahiran (H).
“Perubahan ini memerlukan penelitian rapi pada syarat kelayakan bagi memastikan calon yang diambil benar-benar sesuai dan kompeten dengan fungsi pemanduan, terutama untuk membawa ambulans.
“Skim baharu ini juga menggalakkan peluasan skop tugas, kemahiran pelbagai dan pelaksanaan pelbagai tugas,” katanya dalam maklum balas kepada laporan pendedahan oleh BH baru-baru ini.
KKM menjangkakan pengisian kekosongan Pembantu Khidmat Am (Pemanduan) di fasiliti kesihatan awam seluruh negara akan dibuat secara berperingkat mulai April 2027.
Setakat 30 September tahun ini, KKM mempunyai 8,863 jawatan Pembantu Khidmat Am (Pemanduan) tetapi daripada jumlah itu hanya 7,687 perjawatan diisi.
Data KKM menunjukkan, Semenanjung Malaysia merekodkan kekosongan perjawatan paling tinggi iaitu seramai 1,003 pemandu, disusuli Sarawak (92), Sabah (73) dan Labuan (8).
Bagaimanapun, KKM memaklumkan unjuran pengisian perlu mengambil kira kekosongan semasa, persaraan dan penyusutan pegawai serta keperluan operasi fasiliti.
“Berdasarkan status urusan pengambilan bersama SPA, permohonan pengisian masih di dalam tindakan SPA dan Ujian Kompetensi Pemanduan (UKP) baru selesai pada 27 Oktober lalu.
“Pengisian akan dibuat secara berperingkat mulai April 2027, tertakluk kepada penyelesaian urusan pengambilan oleh pihak SPA,” katanya.
Selaras keperluan tugas
Berikutan pelaksanaan SSPA, KKM berkata, terdapat keperluan untuk menyelaras keperluan tugas dan penempatan bertujuan ‘mengasingkan’ skop tugasan yang bertindan di antara Pembantu Khidmat Am (Pemanduan) dan Perkhidmatan Khidmat Am (Am).
Sekiranya Pembantu Khidmat Am (Am) sedia ada diperlukan untuk menjalankan tugas pemandu di sesebuah kemudahan kerajaan, KKM berkata, terpulang kepada pertimbangan Jabatan Kesihatan Negeri atau ketua jabatan untuk memberi kebenaran, namun ia tertakluk keperluan perkhidmatan, ujian pemandu serta kompetensi.
“Bagi Pembantu Khidmat Am (Pemanduan), ia membabitkan fungsi skim Pemandu Kenderaan sebelum SSPA dengan tumpuan kepada tugas pemanduan dan penjagaan kenderaan jabatan, termasuk ambulans di pusat penempatan masing-masing.
“Tugasan Perkhidmatan Khidmat Am (Am) pula tertumpu kepada pelaksanaan tugas sokongan am mengikut keperluan jabatan, merangkumi antaranya pegawai daripada skim Pembantu Operasi dan Pembantu Awam sebelum pelaksanaan SSPA,” kata kementerian itu.
KKM tampil memberi maklum balas susulan laporan BH pada 16 Oktober lalu mendedahkan jumlah pemandu ambulans yang tidak mencukupi di semua fasiliti kesihatan kerajaan, sedangkan perolehan sejumlah 400 ambulans baharu diumum meerusi Belanjawan 2027.
Dalam laporan itu, Presiden PEMATA-KKM, Reostam Dzahar, menggesa agar KKM segera menangani kekurangan pemandu fasiliti kesihatan awam agar pengoperasian ambulans baharu nanti berjalan dengan sempurna.
Reostam berkata, kekurangan pemandu ketika ini, mencetuskan bebanan kerja melampau sehingga ada dalam kalangan mereka mengalami kelesuan melampau atau ‘burnout’ sebab terpaksa bekerja melebihi had masa ditetapkan.
Sumber – Berita Harian





