KOTA BHARU – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menikam isterinya menggunakan pisau dan mencederakan ibu mentuanya di sebuah rumah di Padang Lepai, Ketereh.
Shahrul Shahrizal Che Shaari, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya secara berasingan di hadapan Hakim Zulkifli Ablah dan Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menikam isterinya, Zulaiha Mat Zain, 44, menggunakan pisau sehingga mengalami kecederaan parah.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kadok, Padang Lepai, Ketereh jam 8.30 malam Isnin lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 326A
akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.
Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mencederakan ibu mentua, Paridah Ismail, 78, menggunakan sebilah pisau di lokasi dan masa yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli dan Siti Arina Razali, manakala tertuduh diwakili peguam, Zainal Abidin Mustaffa.
Pada masa sama, keluarga mangsa turut melantik peguam pemerhati, Nik Saiful Adli Burhan dan Che Muhammad Redzuan Jihad.
Terdahulu, Kamarul Hasyime dan Siti Arina tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
Zainal Abidin juga memohon jaminan tidak diberikan kepada tertuduh
sebaliknya meminta anak guamnya dirujuk ke hospital psikiatri bagi menjalani rawatan mental.
“Saya mohon jaminan tidak diberikan memandangkan keluarga tertuduh dikhuatiri tidak mampu mengawal tertuduh yang disyaki mempunyai masalah mental.
“Malah, dua minggu sebelum kejadian (tikam isteri), tertuduh ada berjumpa saya dan mengatakan mahu mencederakan diri sendiri, justeru saya mahu tertuduh dirujuk ke hospital psikiatri memandangkan dua adik beradik tertuduh juga kini turut mempunyai masalah mental dan sedang mendapatkan rawatan,” katanya.
Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta Perak selama sebulan untuk menjalani pemeriksaan psikiatri.
Mahkamah turut menetapkan 18 November sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Keluarga kedua-dua pihak iaitu mangsa dan tertuduh turut hadir di mahkamah hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seorang jururawat parah selepas ditikam enam kali oleh suaminya di rumah mereka di Kampung Padang Lepai, dekat Kadok, di sini, Isnin lalu.
Mangsa berusia 44 tahun cedera parah akibat tikaman di badan dan leher dan kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II. Susulan kejadian itu, polis menahan suami mangsa berusia 47 tahun selepas lelaki itu menyerah diri.
Susulan kejadian itu, Mahkamah Tinggi Syariah semalam mengesahkan perceraian secara taklik membabitkan jururawat selepas suaminya melanggar lafaz taklik dengan menikam wanita itu enam kali di Ketereh, 5 Oktober lalu.
Hakim Mohd Anwan Ab Muttalib membuat keputusan itu selepas mendengar pengakuan lelaki berusia 47 tahun berkenaan dalam prosiding yang berlangsung kira-kira sejam.
Sumber – Berita Harian





