AYER KEROH – Seorang lelaki dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memukul seorang wanita mengandung menggunakan kayu penyapu di Kampung Batu Berendam, pada Isnin lalu sehingga menyebabkan kecederaan di perut.
Majistret Uthman Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Ermy Ezwan Mohd Razak, 26, selepas menerima pengakuannya selain meneliti fakta kes dan hujah pendakwaan.
Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh ditangkap pada 5 Oktober lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja memukul Nurul Farhana Zainal Zaied, 36, menggunakan sebatang kayu penyapu sehingga cedera. Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan Hajah Kalsom, kira-kira jam 7.45 malam.
Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu pulang ke rumah dan mendapati rumah yang disewakan kepada pekerjanya di Kampung Batu Berendam dimasuki air paip yang tidak ditutup selain suis elektrik tidak dapat dihidupkan.
Pengadu menghubungi pekerjanya dikenali sebagai Along yang kemudiannya datang bersama adik lelakinya, dikenali Wan, iaitu tertuduh.
Sejurus tiba tertuduh tiba-tiba meluru ke arah pengadu sebelum memukulnya dengan kayu penyapu pada bahagian perut menyebabkan wanita itu lebam.
Suami pengadu cuba menghalang, namun dipukul ditangan oleh tertuduh yang terus memberontak sebelum cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan abang pengadu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Yusri memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal dan menghujahkan perbuatan memukul mangsa yang mengandung di bahagian perut menggunakan penyapu tidak berperikemanusiaan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan dan hanya memberitahu dia masih bujang dan pening ketika disoal majistret apakah punca tindakannya itu.
Sumber – Berita Harian





